ALOR GAJAH: Hujan berterusan sejak petang Jumaat menyebabkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini terpaksa diaktifkan bagi menempatkan seramai 29 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, sehingga jam 8 pagi ini, kesemua mangsa yang terjejas dipindahkan ke Balai Raya Bukit Balai, Durian Tunggal dan Balai Raya Gadek.

“Keseluruhan mangsa yang terjejas adalah melibatkan 12 keluarga. Setakat ini, 18 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Bukit Balai dan selebihnya di PPS Balai Raya Gadek.

“PPS Balai Raya Kampung Gadek diaktifkan pada jam 11.44 malam manakala PPS Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal dibuka pada jam 1 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini.

SEGALA MAKLUMAT BERKAITAN BANJIR DI SINI

Mengulas lanjut, katanya, kejadian yang melibatkan lima kawasan kampung itu berlaku akibat paras air sungai naik dan seterusnya melimpah di kawasan penempatan penduduk yang rendah.

Ujarnya, kawasan yang terlibat adalah di Kampung Kuala Sungga Tebong, Kampung Orang Asli Hutan Percha, Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai.

“Mangsa banjir di Kuala Sungga Tebong bagaimanapun tidak berpindah ke PPS kerana air telah surut sepenuhnya.

"Namun, pemantauan berterusan tetap diteruskan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah masing-masing,” tambahnya.

Foto ihsan APM