KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan banjir bukan sahaja bergantung kepada pasukan penyelamat sahaja, tetapi masyarakat juga perlu memainkan peranan yang sama.

Menurut Ketua Cawangan Pusat Pengurusan Operasi, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPJB), Mohamad Shoki Hamzah, selain bersedia, masyarakat juga perlu mengutamakan keselamatan keluarga dan anak-anak ketika bencana banjir melanda.

Beliau berkata, ketika banjir, pengawasan ke atas ahli keluarga juga perlu dipertingkatkan kerana kejadian lemas boleh berlaku walaupun paras air berada pada tahap yang rendah.

“Saya nasihatkan kepada masyarakat yang berada di kawasan hotspot (titik panas) banjir, anda hendaklah bersiap siaga seperti bomba juga

“Jangan pasukan penyelamat saja yang bersungguh-sungguh, tetapi masyarakat tidak ambil kisah hal keselamatan dan tidak bersedia, jangan satu pihak sahaja sebaliknya kedua-dua pihak iaitu pasukan penyelamat dan masyarakat sama-sama siapsiaga,” katanya ketika ditemu bual di Awani Pagi pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas persiapan sepenuhnya Jabatan Bomba dan Penyelamat di semua peringkat bagi menghadapi monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November 2023 hingga Mac 2024.