Salah seorang pasukan penyelamat memaklumkan sekurang-kurangnya 151 orang terbunuh dan ramai yang dikhuatiri masih hilang.
Pasukan Respon Bencana India, Akhilesh Kumar memaklumkan pihaknya akan bergerak ke perkampungan Mundakkai untuk meneruskan operasi mencari mangsa.
"Kami akan menyambung kerja menyelamat dalam masa 10 minit akan datang. Pasukan kami akan ke kampung Mundakkai di seberang sungai Chaliyar dari tempat mangsa yang cedera diselamatkan semalam.
"Kami bimbang lebih ramai orang terperangkap dalam bangunan dan rumah yang runtuh dan kami sedang berusaha untuk menyelamatkan mereka," katanya.
Hujan lebat di salah satu destinasi pelancongan paling menarik di India menyebabkan kejadian tanah runtuh di sebuah lereng bukit sekali gus menjadi bencana terburuk di negeri itu sejak banjir maut pada 2018.
Sebahagian besar daripada 350 keluarga yang tinggal di kawasan tersebut tidak menyedari insiden yang berlaku pada Selasa pagi.