Sementara itu, banjir di SELANGOR pulih sepenuhnya selepas PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai di Meru, Klang ditutup pada 1.13 tengah hari tadi dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, menjadikan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS seluruh negara berkurang kepada 148,024 orang petang ini berbanding 152,377 orang pagi tadi.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,152 orang membabitkan 389 keluarga berbanding 452 orang yang dilaporkan pagi tadi, meliputi tiga daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis.
Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 25 PPS dibuka dengan Raub mencatatkan angka tertinggi mangsa iaitu seramai 1,051 orang, diikuti Jerantut (77) dan Lipis (24).
Semakan di portal publicinfobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis pada bacaan 83.67 meter (m) dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera (31.52 m).
Beberapa jalan utama di daerah Raub juga ditutup untuk semua kenderaan ringan berikutan banjir iaitu Kilometer (KM) 344 - KM342 Jalan Kuala Lipis-Kota Bharu (Gali Lurus-Gali Hilir) dan Jalan Cheroh-Gesing (jambatan Gesing), menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
Dalam pada itu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua masjid dan surau di negeri itu melakukan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa negeri akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Baginda bertitah agar solat hajat ini dapat dilakukan selepas solat Jumaat dan selepas solat Maghrib setiap hari.
Di KELANTAN jumlah mangsa banjir mulai berkurang petang ini dengan merekodkan 94,214 mangsa membabitkan 29,264 keluarga yang ditempatkan di 264 PPS berbanding 96,743 mangsa pagi tadi.
Menerusi Portal Info Bencana JKM, jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 29,846 orang, diikuti Tumpat (18,652), Kota Bharu (11,146), Pasir Puteh (10,673) dan Kuala Krai (6,099).
Turut terkesan, Bachok dengan 6,611 mangsa, Machang (6,595), Tanah Merah (4,243) dan Jeli (349).
Portal infobanjir.water.gov.my merekodkan hanya tiga sungai utama yang masih melepasi paras bahaya berbanding lima sungai pagi tadi iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (10.93 meter), Sungai Golok di Tumpat (4.19 meter), dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (3.27 meter).
Mangsa banjir di TERENGGANU juga berkurang sedikit petang ini kepada 41,788 orang melibatkan 11,274 keluarga yang ditempatkan di 294 PPS di kesemua lapan daerah terjejas berbanding 43,281 orang pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan antara daerah yang menunjukkan pengurangan daftar mangsa di PPS petang ini ialah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu manakala lima lagi daerah lain iaitu Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan Marang merekodkan pertambahan mangsa.
Setakat 3.30 petang tadi, 10 stesen bacaan paras air melibatkan masing-masing dua di Kuala Nerus, Marang, dan Hulu Terengganu serta satu masing-masing di Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Setiu direkodkan melebihi tahap bahaya, menerusi semakan di portal InfoBanjir.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat mangsa banjir di PPS SK Telaga Papan, Setiu mengumumkan peruntukan tambahan segera RM25 juta kepada Terengganu bagi membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 8,468 orang daripada 2,603 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 8,754 orang daripada 2,671 keluarga pagi tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari tujuh daerah itu ditempatkan di 52 PPS.
Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi seramai 3,421 mangsa, Kubang Pasu (2,490), Sik (987), Padang Terap (743), Pokok Sena (614) Kuala Muda (182) dan Baling (31).
Sementara itu, PLUS Malaysia menerusi Facebook rasminya memaklumkan berikutan insiden banjir di KM32.1- KM33.2 antara laluan Jitra ke Hutan Kampung, lorong di kedua-dua arah masih ditutup dan trafik arah selatan dilencongkan ke Persimpangan Jitra Selatan manakala trafik arah utara dilencongkan ke Persimpangan Kepala Batas.
Di JOHOR, jumlah mangsa berkurang kepada 528 orang daripada 139 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 592 orang pagi tadi susulan penutupan tiga PPS iaitu SK Bukit Rahmat, Sekolah Agama Bandar dan SK Abdullah di Tangkak
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata banjir di daerah itu pulih sepenuhnya dengan kesemua mangsa dibenarkan pulang sekali gus menjadikan Segamat satu-satunya daerah di negeri ini yang masih terkesan banjir dengan 16 PPS terus dibuka.
Beliau turut memaklumkan tiga sungai iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat; serta Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma'amor, Tangkak dilaporkan berada pada paras bahaya.
Di NEGERI SEMBILAN, Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir di negeri itu mencatatkan penurunan setakat 4 petang ini dengan 1,561 orang daripada 419 keluarga ditempatkan di sembilan PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin, dan Jempol.
Di MELAKA, mangsa turut berkurang kepada 238 orang setakat 4 petang ini berbanding 302 orang pagi tadi yang ditempatkan di empat PPS membabitkan tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah
Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan hari ini berkata Melaka Tengah mencatatkan 66 mangsa, Alor Gajah (14) dan Jasin (158).
Di PERLIS, situasi banjir bertambah baik apabila sebuah lagi PPS iaitu PPS Dewan Warisan di Kangar ditutup pada 3.30 petang sekali gus menjadikan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 75 orang daripada 18 keluarga berbanding 226 orang daripada 62 keluarga pagi tadi.
-- BERNAMA