Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan yang pernah dibangkitkan sekitar 20 tahun lepas itu, boleh diusahakan selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, selesai dilaksanakan.
"Ada cadangan saya ingat lama dah 20 tahun lebih yang lepas, dicadangkan oleh Kerajaan Jepun iaitu projek JICA umpamanya untuk mengatasi masalah banjir di pantai barat (Malaysia) dan ketika itu tahun 90-an, keperluan perbelanjaan itu sudah mencecah RM10 bilion, sekarang mungkin dah RM20 bilion.
"Antara lain study JICA untuk bina tebing-tebing tinggi di seluruh kawasan pantai. Sudah tentu ini akan mengambil masa dan mudah-mudahan bila keadaan ekonomi yang jauh lebih kukuh, selesai masalah tebatan banjir kita," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu pendekatan kerajaan dalam mengatasi masalah banjir tahunan yang menelan kos ratusan juta setiap tahun.