Ringkasan AI
- Jawatankuasa Masjid Tuan Hussein menyediakan tong air sebagai pengangkutan untuk membantu jemaah, termasuk warga emas, kanak-kanak, dan OKU, menunaikan solat Jumaat semasa banjir.
- Inisiatif ini mendapat sambutan baik dengan kehadiran kira-kira 300 jemaah, walaupun pekarangan masjid digenangi air sedalam 0.5 meter.
- Pada mulanya, pihak masjid bercadang menggunakan perahu kecil, tetapi memilih tong air kerana lebih sesuai dan tidak menyebabkan jemaah basah ketika meredah air cetek.
Imam masjid, Mohd Adib Omar, 63, berkata, Inisiatif itu bagi membantu golongan warga emas, kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU) melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Katanya, idea itu timbul setelah melihat penduduk berhampiran menggunakan cara tersebut untuk sesekali pulang menjenguk keadaan rumah mereka dari pusat pemindahan sementara (PPS).
"Walaupun pekarangan masjid ini digenangi banjir sedalam kira-kira 0.5 meter, namun ruang solat utamanya tidak terjejas kerana kedudukannya yang tinggi.
"Disebabkan itu, kami memutuskan untuk terus berjemaah di masjid pada setiap waktu selain melaksanakan solat Jumaat hari ini," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Menurutnya, inisiatif berkenaan mendapat sambutan baik apabila kira-kira 300 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat di masjid terbabit.
Sementara itu setiausaha masjid tersebut, Musa Bari, 63, berkata, pihak masjid pada mulanya bercadang untuk menggunakan perahu kecil bagi memudahkan pergerakan jemaah namun membatalkan hasrat itu setelah melihat penggunaan tangki air yang lebih sesuai.
"Kalau guna perahu kecil mungkin agak tidak sesuai kerana bahagian bawahnya yang melengkung jadi terseret apabila melalui kawasan agak cetek.
"Jadi keadaan itu akan menyebabkan jemaah warga emas basah kerana perlu juga meranduk air sedikit untuk menaiki sampan," katanya.
Dalam pada itu seorang jemaah, Mohamad Fauzi Rejab, 67, memuji usaha dilaksanakan pihak masjid yang disifatkannya sangat memudahkan jemaah pada musim banjir.
"Saya rasa ini merupakan satu tindakan yang amat prihatin dari pihak masjid. Setidak-tidaknya kami dapat melaksanakan ibadah dengan selesa," katanya. -Sinar Harian