KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan dan air pasang memburukkan lagi situasi banjir di seluruh negara dengan pertambahan mangsa kini sebanyak 34,788 orang daripada 9,735 keluarga setakat jam 6 pagi, pada Khamis.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 286 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di lima negeri terjejas.

Johor menjadi negeri paling teruk terjejas dengan peningkatan mangsa banjir kepada 31,668 orang daripada 8,835 keluarga.

Sebanyak 239 PPS dibuka di daerah Segamat, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Johor Bharu, Mersing, Tangkak, Muar dan Batu Pahat.

Pahang turut mengalami peningkatan mangsa banjir dengan merekodkan 1,913 mangsa daripada 554 keluarga.

Daerah yang dibuka PPS adalah di Rompin, Raub, Maran, Jerantut, Pekan dan Bera.

Sementara itu, Negeri Sembilan mencatatkan seramai 1,066 mangsa daripada 303 keluarga dengan 12 PPS dibuka di daerah Tampin dan Jempol.

Melaka pula merekodkan 98 mangsa banjir daripada 25 keluarga yang ditempatkan di empat PPS yang dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.

Manakala Sarawak membuka dua PPS di daerah Sri Aman dan Sarikei untuk menempatkan 43 mangsa daripada 18 keluarga yang terjejas banjir.