KUALA LUMPUR: Batu Pahat menjadi daerah yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan sebanyak 14,030 mangsa daripada 4,084 keluarga.

Kesemua mangsa telah ditempatkan di 58 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut kemaskini setakat jam 8 pagi Ahad oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), ia diikuti daerah Segamat dengan 13,334 mangsa banjir yang dipindahkan ke 77 PPS.

Selain Segamat dan Batu Pahat, lapan lagi daerah terjejas teruk akibat banjir di Johor iaitu Johor Bahru, Pontian, Muar, Tangkak, Kulai, Kota Tinggi, Mersing dan Kluang.

Setakat ini, angka korban masih kekal seramai empat orang, yang lemas susulan banjir di daerah Kluang dan Segamat.

Terdapat dua PPS di Segamat yang menempatkan lebih 2,000 orang mangsa, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa yang memuatkan 2,537 orang mangsa, dan PPS SK Seri Bali dengan 2,437 mangsa.

Laporan terkini, banjir, Negeri Johor