BALING: Pasukan Bomba Dan Penyelamat berjaya membantu memindahkan tiga keluarga dari Kampung Belakang Sekolah dekat Kupang yang terperangkap dalam kejadian banjir di Baling.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kesemua 11 mangsa itu berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sheik Sheh kira-kira jam 2.30 pagi.

“Sepasukan anggota berjaya membawa keluar mangsa terdiri daripada dua warga emas, empat lelaki dan wanita dewasa, serta lima kanak-kanak yang terdiri dari lelaki dan perempuan.

“Kesemua mangsa berada di tingkat atas rumah ketika pasukan bomba memasuki kampung terbabit,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


Mohamadul Ehsan berkata, jalan menghubungkan kampung ini terputus selepas air sedalam 1.5 hingga 2 meter memasuki kawasan rumah mangsa.

Katanya, kini pihaknya masih mengesan beberapa mangsa lagi yang masih terperangkap untuk diselamat dan dipindahkan.

Banjir di Baling berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak 2 petang Isnin sehingga menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

BACA: Banjir di Baling: 3 sekeluarga hilang dihanyut kepala air

BACA: Banjir di Baling: Lebih 11 kampung terjejas, 3 PPS dibuka

BACA: Banjir Baling: Jakim diarah segera selaras bantuan Musa'adah