KUALA LUMPUR: Bangladesh sedang mendapatkan bantuan Malaysia yang akan menjawat pengerusi ASEAN menjelang 2025 untuk menyokong permohonannya menjadi rakan dialog sektoral dan meningkatkan hubungan perdagangan serta pelaburan dengan kumpulan serantau 10 anggota itu.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md Shameem Ahsan, berkata sebaik sahaja Malaysia menjadi pengerusi tahun depan, permohonan Dhaka akan berada dalam kedudukan yang lebih untuk dipertimbangkan oleh 10 ekonomi tersebut.

Dengan kedudukan penting Bangladesh dalam Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC), beliau berkata terdapat potensi yang agak besar bagi faedah ekonomi melalui kerjasama dengan ASEAN.

"Kami berhasrat dan bersungguh-sungguh untuk menjadi rakan dialog sektoral ASEAN kerana pada masa ini terdapat moratorium bagi menjadi rakan dialog," katanya kepada Bernama hari ini.

"Namun begitu, pilihan untuk menjadi rakan dialog sektor terbuka," katanya lagi.

"Mereka (ASEAN) memerlukan konsensus bagi membenarkan Bangladesh menjadi rakan dialog sektoral."

Status rakan dialog sektoral akan membuka banyak peluang perdagangan dan pelaburan membabitkan kedua-dua pihak.

Beberapa rakan dialog sektoral ASEAN yang lain termasuk Turki, Maghribi, Pakistan, Emiriyah Arab Bersatu, Switzerland dan Afrika Selatan.

Beliau ketika mengulas mengenai hubungan dua hala dengan Malaysia memberitahu Bangladesh menikmati hubungan yang sangat rapat dengan Malaysia, malah berminat untuk mengukuhkan dan mengembangkannya lagi dengan meneroka bidang kerjasama baharu.

"Ia harus menjadi hubungan menang-menang melalui penglibatan yang saling menguntungkan dan berpotensi besar."

Ahsan juga berkata bahawa kerajaan sementara Bangladesh yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Muhammad Yunus telah menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melawat negara itu berkemungkinan menjelang penghujung tahun ini.

"Kami bekerjasama dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri bagi menjayakan lawatan itu."

"Lawatan seperti ini sudah lama tertangguh dan apabila ia berlaku, ini akan meningkatkan pengisian termasuk profil hubungan dua hala kerana akan ada pemeteraian beberapa instrumen (kerjasama ekonomi) yang akan membawa hubungan ekonomi kami ke tahap yang lebih tinggi ," katanya.

Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan utama dan hab serantau bagi perdagangan di ASEAN manakala Bangladesh ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan selepas India.

Pada 2022, eksport Malaysia ke Bangladesh mencecah paras US$4.23 bilion ( RM18.4 bilion) manakala eksport Bangladesh ke Malaysia bernilai US$318 juta (RM1.4 bilion).

Malaysia adalah pelabur kelapan terbesar di Bangladesh, dengan kira-kira 400 syarikat Malaysia berdaftar di sana.

-- BERNAMA