KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menangguhkan Dewan Rakyat pada Rabu ini sehingga pukul 2 petang.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, penangguhan itu dibuat berikutan sambutan Deepavali yang akan diraikan pada Khamis ini.

"Sempena Hari Deepavali yang akan disambut pada Khamis, 4 November 2021, dicadangkan mesyuarat pada Rabu, 3 November 2021 bersidang berterusan dari pukul 10 pagi hingga 2 petang bagi membolehkan Ahli-ahli Yang Berhormat pulang awal ke kawasan masing-masing menyambut perayaan ini.

"Sehubungan itu, saya menjemput Yang Berhormat Menteri untuk mencadangkan usul Peraturan Mesyuarat 12(1) mengenai perkara ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendapat sokongan majoriti ahli menerusi undian suara.