JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri menemui bahan kimia mencurigakan yang dibuang di tebing anak Sungai Plentong di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata bahan kimia itu ditemui sekitar pukul 3.15 petang tadi.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan bermula pukul 10.50 pagi susulan aduan pencemaran bau kimia yang diterima dan kejadian itu didapati sama seperti insiden pencemaran bau berlaku baru-baru ini.

''Ketika pemeriksaan dijalankan sekitar 12 tengah hari, bau kimia sekali lagi di kesan di sekitar kawasan dan pihak berkuasa meneruskan pencarian di sepanjang sungai sebelum menemui bahan kimia yang mencurigakan dibuang di tebing anak sungai di kawasan industri berkenaan sekitar 3.15 petang,'' katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata terdapat tumpahan minyak di permukaan sungai itu dan sampel telah diambil serta pembersihan sebahagian tumpahan minyak itu dibuat menggunakan pad penyerap.

Ling pada masa sama menegaskan kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengecam tindakan mana-mana pihak atau individu yang mengambil jalan pintas untuk melupuskan sisa kimia secara haram.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menghubungi pihak JAS dengan segera, tambah Ling.

Beliau dalam pada itu berkata pihaknya masih menunggu keputusan ujian bahan kimia yang dibuang di tebing Sungai Pandan.

Selasa lepas, satu pencemaran bau yang kuat dilaporkan berlaku di Taman Daya, Taman Mount Austin, Taman Istimewa dan Kampung Melayu Pandan di sini.

JAS Johor dilaporkan mengesan kehadiran gas ammonia melebihi tahap normal di kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan dan sejumlah bungkusan yang kandungannya tidak dikenal pasti ditemui dibuang di tebing anak Sungai Pandan berhampiran Taman Daya dua hari lepas.

-- BERNAMA