Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini mengingatkan ibu bapa agar mengambil berat serta memantau anak-anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan dakyah kumpulan militan yang disebarkan menerusi Internet.

Titah baginda Internet menjadikan dunia "mengecil" dan "tanpa sempadan", sekali gus membolehkan maklumat diakses dan dikongsi dengan mudah oleh sesiapa sahaja.

"Golongan militan dan pengganas menggunakan Internet untuk mempengaruhi golongan remaja dan menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini yang merupakan pengguna tegar media sosial untuk berinteraksi dan berkomunikasi.

"Kita yang dikejutkan dengan maklumat risikan berkaitan isu ini baru-baru ini seharusnya mengambil sikap lebih bertanggungjawab terhadap anak-anak masing-masing," titah baginda pada majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Datuk Sheikh Ahmad (SMKDSA) di sini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah anak-anak yang terpengaruh dengan unsur militan atau keganasan bukan sahaja merosakkan diri dan keluarga malah mengancam keselamatan negara dan dunia.

Baginda turut menyentuh peranan pelajar antaranya bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah dan hubungan dengan rakan-rakan, berdisiplin, menghormati guru dan menerima teguran dengan positif selain menghormati ibu bapa sendiri serta orang yang lebih tua.

"Saya juga berharap guru dan ibu bapa melihat pendidikan secara menyeluruh terutama pembangunan insan dalam aspek pembentukan sifat, watak dan iman.

"Pendidikan tidak lengkap dan sempurna jika tanggungjawab diletakkan sepenuhnya pada sekolah. Ibu bapa, keluarga dan masyarakat umumnya turut bertangungjawab dan wajib melengkapkan tugas guru dan sekolah," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra peringkat SMKDSA kepada Ong Joo Hom; Nur Hazwani Hasnan (Anugerah Datuk Wan Ahmad manakala Muhammad Aidil Afnan Alias (Anugerah Tokoh Kokurikulum).

-- BERNAMA