PUTRAJAYA: Malaysia pada Khamis menyertai 192 Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lain bagi memperingati ulang tahun ke-79 penubuhan PBB.


Ringkasan AI
  • Malaysia menyertai 192 negara anggota PBB lain memperingati ulang tahun ke-79 penubuhan PBB pada 24 Oktober.
  • Malaysia menekankan komitmen berterusan terhadap multilateralisme dan prinsip Piagam PBB, yang meliputi keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia, dan pembangunan mampan.
  • Malaysia berharap untuk mengukuhkan kerjasama ASEAN-PBB semasa Kepengerusian ASEAN 2025, dengan tujuan membina masa depan yang lebih baik untuk semua.


Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri menekankan komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan multilateralisme dan prinsip serta nilai Piagam PBB sejak diterima sebagai Negara Anggota PBB pada 17 Sept 1957.

Piagam PBB menetapkan tiga tonggak asas penubuhan PBB iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan pembangunan mampan.

"Sejak 1945, ketiga-tiga tonggak ini menyediakan kerangka untuk menangani cabaran global dan menjalinkan kerjasama antara negara.

"Sempena hari bermakna ini, Malaysia mengulangi azam dan komitmennya terhadap prinsip-prinsip teras ini," menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menzahirkan harapan untuk mengukuhkan kerjasama ASEAN-PBB semasa Kepengerusian ASEAN 2025.

"Melalui kerjasama dengan PBB dan rakan kongsi antarabangsa yang lain, Malaysia akan mempergiatkan usaha-usaha ke arah dunia yang adil, makmur dan saksama bagi membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

"Selamat Hari Ulang Tahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut Wisma Putra.

Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu disambut setiap tahun pada 24 Okt.

-- BERNAMA