PHNOM PENH: Ketua tentera Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing menyeru semua pihak untuk mengurangkan keganasan dan memulihkan keamanan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara itu yang hanya menerima setengah juta pelawat dalam lima bulan pertama tahun ini.

Negara Asia Tenggara itu - dikelilingi oleh pantai yang indah, puncak gunung bersalji, kepulauan, dan dataran subur - menarik satu juta pelancong pada tahun lepas.

Bercakap pada Hari Pelancongan Sedunia 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar II di Nay Pyi Taw, ketua tertinggi tentera itu meminta pengusaha pelancongan untuk mempromosikan pelancongan yang selamat dengan tema "Pelancongan dan Keamanan" kerana keselamatan adalah keutamaan utama, lapor media milik kerajaan The Global New Light of Myanmar.

"Semua pengusaha pelancongan digesa bekerjasama dengan kerajaan dalam memulakan proses perdamaian bagi memastikan pembangunan jangka panjang industri pelancongan Myanmar.

Kementerian dan organisasi pelancongan perlu meningkatkan perkhidmatan pelancongan dan menyebarkan maklumat sebenar mengenai perjalanan yang selamat dan terjamin ke destinasi di Myanmar kepada pelancong dalam masa singkat," kata Min Aung Hlaing, yang juga Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara dan Perdana Menteri, lapor media milik kerajaan itu.

Myanmar jatuh ke dalam kekacauan politik selepas rampasan kuasa pada Februari 2021 apabila tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, menyebabkan banyak negara, komuniti perniagaan, dan pelancong menjauhi negara itu.

Laporan Pengawasan Ekonomi Myanmar Bank Dunia pada Jun 2024 mendedahkan bahawa konflik yang berterusan telah menjejaskan sektor pelancongan, yang merupakan satu daripada penjana pendapatan utama negara itu.

"Selepas pemulihan yang agak baik dalam ketibaan antarabangsa pada 2023, pelancongan mengalami penurunan sejak awal 2024 disebabkan oleh peningkatan konflik.

Ketibaan antarabangsa menurun sebanyak 11 peratus sejak Disember, menjadi kurang daripada satu perempat tahap pra-pandemik pada Mac 2024. Kemerosotan pelawat antarabangsa telah mengalihkan tumpuan kepada pelancongan domestik di kawasan tidak konflik, yang menyaksikan pertumbuhan sederhana, dengan rakyat Myanmar membentuk majoriti besar tetamu hotel di Yangon dan Mandalay," kata Bank Dunia.

Negara itu kini menghadapi amukan Taufan Yagi yang memusnahkan rumah, sawah padi dan lebih 200 orang terkorban dalam bencana alam itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

-- BERNAMA