KUALA LUMPUR: Cadangan pelantikan atase bahasa dan budaya di pejabat Kedutaan Malaysia di seluruh dunia adalah untuk mengatur secara sistematik aktiviti bahasa dan kebudayaan Malaysia di luar negara.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata aktiviti itu harus bersifat holistik dan menyeluruh, termasuk falsafah, pemikiran, kejayaan akademik, penyelidikan dan pelbagai elemen seni Malaysia, daripada tradisional hingga moden.

"Kami berharap akan mendapat peruntukan. Atase budaya bukan dari Wisma Putra. Perkara ini perlu dibincangkan antara kementerian berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pendidikan," katanya.

Menteri Luar itu ditemui pada sambutan Hari Perpaduan Jerman, anjuran Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur di sini pada malam Selasa.

Turut hadir, Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Biomeyer.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelantikan atase budaya adalah amalan biasa di banyak negara.

"Kami tidak pernah mempunyai atase budaya sebelum ini. Indonesia telah bermula pada 2003, Korea Selatan telah bermula pada 1998," katanya.

Menurut laporan media, Saifuddin, yang berada di Jerman sempena Program Khas Mempromosikan Diplomasi Bahasa dan Budaya dari 27 Sept hingga 2 Okt, berkata penempatan atase pertama akan di Jerman diikuti oleh sembilan negara lain di seluruh dunia.

-- BERNAMA