KUALA LUMPUR: Saluran berita paling dipercayai di Malaysia, Astro AWANI merangkul Anugerah Kecemerlangan dalam Berita Penyiaran pada Malam Anugerah Kepimpinan Perniagaan Antarabangsa (IBLA) Ke-6 2024.

Anugerah tersebut disampaikan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj yang juga merupakan Penaung Diraja bagi IBLA dalam majlis di sebuah hotel di ibu negara pada Jumaat.

Mewakili Astro AWANI menerima anugerah tersebut adalah Ketua Pengarang, Ashwad Ismail bagi pihak seluruh warga kerja Astro AWANI.

Malam anugerah berprestij kepada pemain industri pelbagai sektor itu dianjurkan Chartered Institute of Digital Ecnomy (CIDE) dan Majlis Perniagaan Asia Pasifik untuk Kelestarian dan disokong oleh The Leadership Post.

“Di sebalik dunia penyiaran yang sangat mencabar, pengiktirafan ini memberi isyarat bahawa kita perlu berganjak dari sempadan Malaysia dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Sebagai wartawan dan pencipta kandungan, kita juga perlu melihat daripada aspek pengurusan, perniagaan dan keterhubungan untuk meningkatkan keupayaan pemain-pemain industri ke peringkat lebih tinggi sekali gus menyumbang kepada pendapatan ekonomi, kemampanan serta kebaikan nilai sejagat secara umumnya,” kata Ashwad.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Penganjur anugerah tersebut, Chris Daniel Wong.



Menurut Chris Daniel, pengiktirafan kepada 35 syarikat serta individu itu adalah sebagai menghargai syarikat-syarikat yang menunjukkan daya tahan luar biasa selain mencapai kelestarian dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, inovasi, teknologi, perkhidmatan pelanggan, dan pembangunan produk strategik.

“Objektif anugerah adalah untuk mengiktiraf pencapaian individu dan perniagaan dalam tempoh yang mencabar ini, atas sumbangan besar mereka ke arah pertumbuhan ekonomi mampan negara.

“Unjuran bank dunia menjangkakan Malaysia bakal berdepan aliran tunai yang agak mendatar, namun menunjukkan prestasi menggalakkan.

“Justeru, saya ingin melihat pengusaha di Malaysia memantapkan prestasi perniagaan mereka terutama dalam menghadapai cabaran ekonomi baharu, seterusnya meningkatkan sumbangan kepada jumlah eksport negara,” jelasnya.