KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tidak terlibat dalam transaksi yang didakwa salah antara 2009 dan 2014.

Penyiasat penipuan kewangan berpangkalan di United Kingdom (UK) Richard Templeman mengakui bahawa Arul Kanda, yang diambil bekerja oleh 1MDB pada 2015, tidak ada kaitan dengan transaksi wang yang berasal daripada hasil bon pertama dan kedua yang diperoleh 1MDB pada tahun 2012 untuk pembelian loji janakuasa.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memegang jawatan CEO 1MDB dari 2009 hingga 2013 diikuti oleh Mohd Hazem Abd Rahman sebelum Arul Kanda mengambil alih jawatan itu dari Januari 2015 hingga 28 Jun 2018.

Peguam Arul Kanda, Sanjay Mohan, merujuk kepada saksi mengenai beberapa transaksi khusus melibatkan pengaliran sejumlah besar wang 1MDB, iaitu pemindahan sebanyak AS$297,773,000 kepada entiti milik ahli kewangan buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Aabar Seychelles serta pemindahan AS$57 juta daripada Red Granite Capital kepada Alsen Chance yang berlaku sebelum 2014.

Templeman juga disoal mengenai pemindahan dana 1MDB AS$11.5 juta daripada Affinity, satu lagi entiti milik Jho Low kepada Red Granite dan pemindahan AS$1.095 bilion daripada akaun Aabar Investments PJS Ltd ke akaun Blackstone.

Sanjay: Transaksi Aabar berlaku antara September hingga November 2014. Betul?

Templeman: Betul.

Sanjay: Semua pemindahan yang berlaku pada 2012 ini, tiada kaitan dengan anak guam saya, betul Encik Templeman?

Templeman: Betul.

Sanjay juga berhujah bahawa beberapa komen Templeman dalam kenyataan saksi mengandungi dakwaan terhadap anak guamnya yang hanya bersifat spekulatif dan tidak berasas, yang mana saksi itu tidak bersetuju.

Arul Kanda dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah disaman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

1MDB menuntut ganti rugi sebanyak AS$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan berhubung pelanggaran tersebut serta tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan dengan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-- BERNAMA