Malaysia berharap Forum Serantau ASEAN (ARF) akan terus menjadi sebagai perantara untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata ASEAN menerusi ARF harus menterjemahkan kepercayaan dan pemahaman yang sekian lama dibina.

Bagaimanapun Anifah mahu, keyakinan yang dibina diterjemah kepada tindakan yang boleh bertindak balas secara berkesan kepada keperluan rakyat di rantau ini selain mengambil kira cabaran-cabaran keselamatan yang semakin rumit.

"Kita harus menterjemahkan kepercayaan dan pemahaman yang sekian lama dibina; bawa keyakinan ke dalam tindakan yang boleh bertindak balas secara berkesan kepada keperluan rakyat di rantau ini, juga mengambil kira cabaran-cabaran keselamatan yang semakin rumit berbanding sebelum ini," kata Anifah sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan Forum Serantau ASEAN (ARF) ke- 22 di sini hari ini.

Anifah selaku pengerusi pada forum tersebut berkata kini tiba masa untuk ARF menjadi platform yang lebih strategik dan berorientasikan tindakan.

"Pada masa yang sama, (ARF perlu) terus menjadi relevan dalam perbincangan (yang diadakan secara) berterusan demi pembangunan serantau," ujar Anifah.

Pada forum itu juga, Anifah menggalakkan para deligasi mengadakan perbincangan secara terbuka sekaligus bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang bukan sahaja menjadi kebimbangan malah menjadi kepentingan bersama.

Menurut Anifah, ARF telah maju kehadapan iaitu daripada peringkat pertama, langkah-langkah membina keyakinan kepada peringkat kedua, diplomasi pencegahan dan kini di peringkat ketiga, penyelesaian konflik.

Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-22 ini diadakan dalam bentuk sesi pleno dan sesi pemukiman.

Peserta ARF ialah semua anggota ASEAN serta Australia, Bangladesh, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Mongolia, New Zealand, Korea Utara, Pakistan, Papua New Guinea, Rusia, Korea Selatan, Sri Lanka, Timor Leste dan Amerika Syarikat yang diwakili Setiausaha Negara, John Kerry.

Pertama kali diadakan di Bangkok pada 1994, ARF merupakan Forum Asia Pasifik yang penting bagi menggalakkan dialog terbuka tentang politik dan kerjasama keselamatan di rantau itu.