KUALA PERLIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 11 warga Thailand yang disyaki melakukan aktiviti menangkap siput buluh di kedudukan 1.2 batu nautika dari barat muara Sungai Baru, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata kesemua mereka terdiri daripada tiga tekong dan lapan awak-awak berusia antara 18 hingga 42 tahun.

"Bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis iaitu Perkasa 1227 yang sedang melakukan rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 di sekitar perairan Perlis telah menghampiri tiga bot dan mendapati bot-bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga bot terbabit yang berpengkalan di negara jiran...ketika ditahan mereka disyaki sedang melakukan aktiviti menangkap siput buluh dalam keadaan gelap," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, terdapat beberapa awak-awak yang telah bertindak terjun ke laut dan cuba melarikan diri namun situasi cemas tersebut dapat dikawal anggota APMM.

Menurutnya ketiga-tiga bot dianggar bernilai RM40,000 bersama 11 warga Thailand yang ditahan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata APMM meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Katanya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian MERS 999.

-- BERNAMA