Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata daripada 67 kes itu, sebanyak 136 individu ditahan dengan 26 daripada mereka telah didakwa di mahkamah.
"Sepanjang tahun ini APMM Zon Maritim Sandakan menjalankan 23,705 pemeriksaan terhadap kapal dan memeriksa 52,151 individu sebagai usaha menangani sebarang kegiatan jenayah di laut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sepanjang tahun ini, pihaknya turut melaksanakan 173 taklimat pencegahan carilamat bagi meningkatkan kesedaran dalam komuniti maritim mengenai keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut.
"APMM Zon Maritim Sandakan berjaya menyelamatkan 57 individu dan harta benda bernilai RM3.21 juta dari tahun 2022 hingga kini," katanya.
Muhamad Suhairy turut mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah awal keselamatan antaranya memakai jaket keselamatan, membawa alat pengesan lokasi individu dan memeriksa ramalan kaji cuaca.
Sebarang maklumat, katanya boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan menerusi talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.
-- BERNAMA