KUALA NERUS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu telah menenggelamkan 99 bot nelayan yang dilucut hak untuk dijadikan tukun tiruan.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kesemua tekun tiruan itu telah ditenggelam di sepanjang perairan Terengganu bermula tahun 2010 sehingga tahun lepas.

Menurutnya, bot nelayan asing bernilai kira-kira RM150 juta itu merupakan hasil rampasan daripada pelbagai operasi yang dijalankan agensi itu di sepanjang perairan negeri ini.

“Pada tahun ini kita jangkakan 43 buah bot lagi akan kita tenggelamkan di perairan negeri Terengganu melalui tangkapan Operasi Naga dan Operasi Kuda Laut.

“Terdapat empat buah lagi bot yang kita tahan atau tenggelam ini hasil tangkapan Op Iman pada tahun 2019 melalui proses mahkamah dan sebagainya disusuli tiga lagi buah bot akan kami tenggelamkan untuk nelayan kawasan Merchang,” katanya.

Beliau berkata usaha meneggelamkan bot sebagai tukun tiruan bagi memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin.

Katanya selain itu ia simbolik kepada kesungguhan Maritim Malaysia dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara.

Beliau berkata, pelupusan bot dengan menjadikannya tukun tiruan merupakan kaedah terbaik dalam menjaga kelestarian marin kerana ia sudah melalui proses penyelidikan khusus Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).