KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk 'ham and cheese sandwich' tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

JAKIM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati, produk berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai sijil halal, malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut bukan pemegang SPHM.

"Justeru, tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah suatu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730], iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan tindakan undang-undang sudah diambil oleh KPDN.

"Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal.

"Pastikan produk tersebut telah dipersijilkan halal oleh pihak yang berautoriti," kenyataan itu menyebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan yang dilakukan bersama Jakim itu bermula jam 1 petang hasil aduan yang telah diterima dan tular melalui aplikasi TikTok.

"Hasil maklumat awal, premis terbabit merupakan sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk roti sandwic serta menggunakan penandaan logo halal Jakim yang disyaki tamat tempoh," katanya dalam kenyataan yang berasingan pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak Jakim dan logo halal yang dilekatkan pada produk roti sandwic tersebut ialah logo halal diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan telah menjual perniagaannya kepada syarikat diserbu.

"Sijil pengesahan halal tersebut juga disahkan telah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023," jelas Azman.

Azman juga memaklumkan KPDN telah menyita pelbagai jenis roti sandwic, sebuah komputer, mesin pencetak dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan.

Tegasnya, kesalahan seumpamanya amat serius serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna terutama yang beragama Islam.

"Selain daripada tindakan di bawah pensijilan halal, KPDN juga akan menghantar sampel sandwic tersebut ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilan sandwich tersebut," katanya.