PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan 'Malaysia Madani' sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati semula sebagai negara makmur  berteraskan enam teras utama.

Perdana Menteri berkata, enam teras itu adalah keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

"Saya menaruh keyakinan tinggi Malaysia berupaya diangkat semula di persada dunia sebagai negara yang kukuh dan kuat. Kita tidak mahu Malaysia tercemar dengan skandal, permasalahan dan pertelingkahan kaum dan agama.

"Kita mahu Malaysia ini dikenali sebagai negara Madani yang mampu diangkat martabat negaranya. Salah satu negara yang harus dikenali sebagai negara makmur. Negara adil dan menolak sebarang sebarang kezaliman terhadap individu atau kaum.

"Kita mahu negara ini dikenali dengan semangat baharu dan rakyat yang faham dengan erti kemerdekaan," katanya semasa berucap menyampaikan Amanat Perdana Menteri 'Membangun Malaysia Madani' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Khamis.


[TERKINI] Wacana Membangun Negara Madani

Ujarnya, beliau percaya barisan pimpinan, penjawat awam, dan sektor swasta memahami mengenai keselesaan hidup untuk semua dan bukan untuk sesuatu kelompok masyarakat sahaja.

Justeru, beliau berharap semua pihak bekerjasama dalam meletakkan sebuah batu asas baharu dengan meninggalkan perkara lampau dan memartabatkan hidup yang lebih bermakna.

"Saya tegaskan semula, bukakan pintu hati kita , selamatkan negara kita. Negara ini pernah tercorot, maka berilah peluang kepada anak-anak generasi penerus kita supaya harapan ini boleh dimulakan dengan sekarang," ujarnya.


Beliau yakin semua jemaah menteri dan ahli politik lebih manusiawi daripada yang boleh disaksikan pada ketika ini.

"Sebab itu, saya percaya kita boleh lakukan. Ada yang mengandaikan, kalau begitu adakah kita boleh buka pekung penyelewangan . Itu bukan urusan saya,dan kita percaya kepada badan kehakiman negara.

AWANI Ringkas: Membangun Malaysia Madani bagi bina masa depan negara - PM

"Kita juga harus tahu harta-harta yang diambil tidak sah, harus dipulang kepada negara dan rakyat," tambahnya.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri Malaysia perlu diselamatkan dan 'harum' semula demi keadilan untuk rakyat. 

"Ada martabatnya kita adil kepada rakyat semua kaum dan semua pelusuk kampung dan pedalaman," ujarnya.