KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini yang berhasrat untuk melawat negara yang dilanda wabak cacar monyet atau monkeypox dinasihatkan supaya mendapatkan vaksin sebagai perlindungan daripada dijangkiti virus penyakit tersebut.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Malina Osman berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu mengeluarkan garis panduan kepada mereka yang ingin melancong ke destinasi terbabit sebagai langkah berjaga-jaga, sekali gus mengelakkan penyakit itu daripada merebak ke negara ini.

"Garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan supaya mendapatkan vaksin cacar air sedia ada yang dikatakan 85 peratus berkesan terhadap cacar monyet. Saya tidak pasti sama ada ia terdapat di klinik kerajaan, tetapi di klinik swasta mungkin ada. Vaksin cacar monyet juga sudah ada (di luar negara), tetapi di pasaran Malaysia saya tidak pasti sudah ada atau tidak," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan juga perlu mempertingkatkan kawalan di sempadan termasuk memantau kemasukan individu dari negara dilanda wabak itu ke negara ini.

"Bagi mereka yang nak masuk dari negara yang sudah dilaporkan ada wabak ini, saya percaya garis panduan oleh kementerian akan dikeluarkan bagi memantau sebarang gejala.

"Saya yakin caranya sama macam chickenpox (cacar air) iaitu perlu dikuarantin dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan penularan tempatan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Malina berkata virus tersebut berasal daripada monyet dan tersebar kepada manusia menerusi kontak secara langsung cecair tubuh seperti air liur, hingus dan kahak.

Menurutnya majoriti pesakit cacar monyet pulih tanpa komplikasi dengan kadar kematian juga rendah berbanding cacar air, iaitu sekitar tiga hingga enam peratus.

Selain itu, katanya mereka yang dijangkiti juga mengambil masa di antara dua hingga empat minggu untuk pulih sepenuhnya.

Beliau berkata setakat ini menurut WHO, negara seperti Australia, Kanada, Amerika Syarikat, Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Portugal, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom telah melaporkan beberapa kes jangkitan cacar monyet.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar ketika dihubungi Bernama menasihatkan mereka yang mengalami simptom setelah pulang dari negara terbabit supaya segera mendapatkan pemeriksaan di klinik.

"Paling penting sekarang adalah kalau kita ada pergi ke sana atau ada yang datang ke mari dan ada simptom kena buat pemeriksaan. Setakat ini ia belum berlaku di Malaysia, jadi kena berhati-hati terutamanya bagi mereka yang melawat Eropah ataupun yang baru balik dari sana.

"Kalau perlu jangan bercampur dengan orang ramai jika kita dari kawasan berisiko," katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana komplikasi akibat penyakit cacar monyet hampir sama dengan cacar air dan demam campak, selain kadar kematiannya juga rendah.

"Ia boleh dijangkiti antara manusia ke manusia termasuk melalui bawaan udara, namun berbeza dengan virus COVID-19 yang boleh dijangkiti dalam masa 15 saat, virus cacar monyet mengambil masa beberapa jam untuk berlaku jangkitan antara satu individu kepada individu lain.

"Ia tidak ada ubat untuk mencegah dan sekiranya dijangkiti akan sembuh sendiri," katanya, menambah belum ada kes berkaitan cacar monyet yang dilaporkan di Malaysia setakat ini.

Mengenai laporan media antarabangsa yang kes cacar monyet banyak melibatkan golongan muda, beliau berkata ia mungkin kerana mereka banyak menghabiskan masa di luar menyebabkan penyakit itu mudah dijangkiti.

-- BERNAMA