“Bibik nak pergi kedai, kalau apa-apa bagi adik susu."

Itu pesanan terakhir pembantu rumah kepada anak lelaki usahawan, Ros Halinda Harun Mohamad yang melarikan diri dengan meninggalkan bayinya bersama anaknya yang masih dalam tadika itu tanpa rasa belas kasihan.

Susulan episod trauma itu, Ros, 41 tahun, menyatakan dia cukup serik untuk memiliki pembantu rumah lagi. Insiden yang berlaku tidak lama dahulu cukup meninggalkan impak besar kepadanya sekeluarga.

“Dia lari dan mengambil semua barang kita, namun pasportnya serta duit perbelanjaan masih dalam simpanan kita. Bermula dari situ, saya serik. Itu cuma dia ambil barang sahaja, kalau bawa lari anak kita sekali, tak boleh nak buat apa dah,” ujarnya ketika ditemu bual, Astro AWANI baru-baru ini.

Ros Halinda
Usahawan ini mengaku, selepas episod trauma menimpa keluarganya beliau sekeluarga takut pisang akan berbuah dua kali. - Gambar Astro AWANI.

Menurut Ros, pengalamannya yang kedua menggunakan pembantu rumah juga tidak membuahkan hasil selepas perkhidmatan kakli ini hanya bertahan selama dua minggu.

Meskipun masih mempunyai jaminan dengan pihak agen, namun dia serik untuk mengambil pembantu rumah lagi kerana bimbang pisang berbuah dua kali.

Siti Nor Wahid
Tuntutan pekerjaan dan keadaan menyebabkan Siti akur dan menggunakan perkhidmatan orang gaji sebanyak lima kali. - Gambar Astro AWANI

Kisah sama diceritakan Siti Nor Wahid selepas pembantu rumah bersilih-ganti sebanyak lima kali.

Siti mengaku pembantu rumahnya itu dilayan seperti keluarganya sendiri. Layanan baik yang dihulurkan oleh keluarganya tidak mendatangkan hasil terutamanya selepas pembantu rumah mula mencerna pelbagai penipuan dan bertindak secara putar belit.

“Kita selalu cakap (pada pembantu), kalau ada masalah beritahu. Kalau awak nak berhenti beritahulah, jangan lari sebab kalau awak rasa tidak serasi kita hantar hantar awak balik. Kalau saya tidak mahu awak, saya akan beritahu. Saya selalu pesan macam itu," jelas Siti.

Apatah lagi, kata Siti, dari pemerhatiannya pembantu rumah akan mula buat perangai selepas enam bulan mereka memulakan perkhidmatan di rumah majikan masing-masing.

Mengikut perjanjian, agen memberi jaminan tiga bulan dari tempoh pembantu rumah itu digaji. Kebiasaannya, majikan yang berdepan masalah seumpama ini berlaku kurang dalam tempoh yang dijanjikan.

Lantas timbul persoalan, adakah wujud konspirasi penipuan antara agen dengan pembantu rumah yang dibekalkan menyebabkan isu ini terus berlanjutan.

Datuk Raja Zulkepley Dahalan
Majoriti pembantu rumah yang lari itu kebiasaannya dibekalkan oleh agensi yang tidak berdaftar, kata Raja Zulkepley

Majikan tidak bayar gaji

Mengulas isu ini, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia, PIKAP mendedahkan, 90 peratus pembantu rumah yang lari daripada majikan adalah kerana mereka tidak menerima bayaran hasil titil peluh mereka.

"Mengapa majikan tidak bayar gaji? Dia (amah) lari sebab sudah jadi amalan majikan, dia akan bayar gaji bila kontrak tamat," tegas Presiden PIKAP, Datuk Raja Zulkepley Dahalan.

Majoriti pembantu rumah yang lari itu kebiasaannya dibekalkan oleh agensi yang tidak berdaftar, katanya.

"Saya tidak menafikan memang ada pembantu rumah yang sengaja melarikan diri, itu salah majikan juga. Kenapa ambil pembantu rumah dari agen tidak berdaftar, yang tiada kursus dan tidak bertauliah?" soalnya.

Beliau turut menepis dakwaan kononnya wujud konspirasi antara pembantu rumah dan agensi.

Katanya, setiap pembantu rumah yang dibekalkan dipantau rapi oleh agensi dua negara terlibat, malah proses tersebut juga dikawal ketat pihak berkuasa dan tidak sewenangnya ia lolos dengan mudah.

HELPER bantu bela kebajikan amah

Turut senada dengan PIKAP, Saba Islamic Dosmetic Help Advisory (SAIDHA) yang berperanan membantu pembantu rumah menerusi program HELPER.

Pengerusi SAIDHA, Sabariah Abdullah memberitahu, selain daripada tidak dibayar gaji, masalah lari daripada majikan turut disumbang beberapa faktor lain.

"Kebanyakan yang lari kerana tidak tahan dengan tekanan psikologi pihak majikan, ada juga majikan menjanjikan mahu buat permit, tetapi, hingga setahun tak buat lagi, jadi mereka takut dengan perkara berbangkit dan timbullah rasa tidak puas hati," kata Sabariah.

Katanya, sehingga kini pihaknya masih menerima aduan daripada pembantu rumah yang meminta pertolongan untuk perlindungan.

Justeru, sebagai sebuah organisasi yang bertindak sebagai pelindung, SAIDHA menawarkan beberapa bantuan dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen dan kedutaan besar negara terlibat.

Bagi pihaknya, apa yang boleh dibantu adalah menempatkan pembantu rumah yang terlibat di asrama sementara sebelum tindakan lanjut diambil.


Perlu sistem lebih sistematik dan efisien

Kerajaan perlu mewujudkan perkhidmatan pembantu rumah separiuh masa sebagai antara usaha mengatasi masalah pembantu rumah lari dari majikan. Pendekatan ini dilihat mampu menangani masalah yang berlanjutan ini selain meneyelesaikan beberapa faktor lain yang berkaitan.

Sebagai pihak yang terlibat secara langsung, Majikan Amah Malaysia, MAMA, mahu satu penyelesaian konkrit diambil agar isu ini dapat diselesaikan.

Presidennya, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berpandangan, konsep satu majikan satu amah tidak lagi praktikal.

"Saya ingin syorkan satu peraturan, kalau boleh, pihak berwajib izinkanlah pembantu rumah boleh bekerja sepenuh masa. Dengan cara begini, satu bisnes memberi perkhidmatan dapat iwujudkan dan jika ada masalaah amah laripun ia tiada kaitan dengan majikan," katanya.

Ia disokong SAIDHA yang melihat konsep tersebut boleh memberi situasi menang-menang kpada pihak yang terlibat.

Sabariah menjelaskan, dengan konsep tersebut, ia bukan sahaja membuka peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, malah ia membantu majikan yang tidak mempunyai ruang bilik untuk pembantu rumah.

Dalam pada itu, SAIDHA turut menyuarakan supaya satu sisterm kesejahteraan untuk pembantu rumah diadakan supaya kebajikan pembantu rumah yang teraniaya dapat dibela.

Jelasnya, program seperti HELPER yang dijalankan pihaknya harus diperluas agar ia dapat membantu para pembantu rumah yang mahukan perlindungan yang antara lain dapat membantu dalam menjalin hubungan bilateral yang kukuh dalam membekalkan pembantu rumah

Justeru, kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia diperlukan bagi merealisasikan usaha tersebut.

Selain itu, pihak berwajib turut diminta supaya mewajibkan kewujudan taska di setiap pejabat awam dan swasta untuk kebaikan bersama.