Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali bertugas hari ini selepas dinasihatkan bercuti rehat oleh doktor berikutan terkena jangkitan bakteria Escherichia coli (E.coli) pada Isnin.

Najib turut menulis di laman Twitternya mengenai perkembangan itu dan memulakan tugas dengan mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya.



Najib turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya sambil memberitahu agenda mesyuarat kebinet hari ini tertumpu kepada isu berkaitan banjir.

"Agenda utama mesyuarat Kabinet hari ini adalah membincangkan isu berkaitan banjir dan usaha untuk membantu mangsa banjir yang terjejas," katanya dalam laman Twitternya.

Dalam pada itu, Najib turut memuatkan gambar beliau dan beberapa menteri kabinet, termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang menghadiri mesyuarat tersebut.


Pada Isnin, laman Twitter Pejabat Perdana Menteri (@PMOMalaysia) memaklumkan Najib terkena jangkitan bakteria E.coli semasa melawat kawasan banjir baru-baru ini dan dinasihatkan doktor supaya berehat.

Bagaimanapun, Najib dalam tweetnya kemudian menyatakan beliau akan terus memantau operasi bantuan banjir walaupun sedang berehat di rumah.