Tinjauan astro AWANI di sekitar kawasan bencana membabitkan daerah Hulu Langat pagi tadi mendapati ramai mangsa hadir mendatangi lori-lori bantuan mencari keperluan itu bagi membersihkan kediaman mereka yang kebanyakannya rosak dan dipenuhi lumpur.
Menurut seorang sukarelawan G. Gobulabalan yang baru tiba dari Perak pagi ini, kebanyakan mangsa sering bertanyakan barangan keperluan itu ketika menyampaikan misi bantuan di sini.
"Ramai dalam kalangan mereka mengambil inisiatif untuk membersihkan kediaman mereka sendiri sementara menunggu mana-mana kumpulan atau orang perseorangan membantu membersihkan kediaman mereka.
"Barangan seperti penyapu sampah, penyodok, alatan membasuh, perkakas dapur dan lain-lain adalah barangan yang mereka perlukan selain daripada barangan keperluan asas yang lain," katanya.
Tinjauan juga mendapati berpuluh kenderaan yang dipenuhi barangan bagi tujuan misi bantuan sudah mula memasuki daerah ini yang kebanyakannya datang dari luar Kuala Lumpur dan Selangor.
Kerja-kerja pembersihan kediaman dan agihan makanan serta keperluan juga masih lagi giat dilakukan.