PASIR SALAK: Seorang remaja lelaki dipercaya menjadi mangsa 'cemburu' selepas dibelasah sekumpulan remaja lain di sebuah gerai kosong bersebelahan Stadium Mini Bola Sepak Kampung Gajah di sini pada Selasa minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang yang tular di media sosial baru-baru ini, memaparkan tujuh remaja memukul dan menendang mangsa sambil dirakam salah seorang suspek.

Berdasarkan video bertajuk “Kes buli dan pukul budak beramai-ramai di Kg Gajah Perak” itu, mangsa tidak membalas pukulan suspek menyebabkannya mengalami kesakitan di bahagian perut.


'Aku hilang sabar dengan kamu ni' - Gara-gara cemburu, remaja dibelasah sekumpulan remaja lain

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, polis pada Selasa telah menahan 10 remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun termasuk seorang pelajar perempuan bagi membantu siasatan. 

"Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan mangsa menunggang motosikal sambil dibonceng remaja perempuan yang dikatakan teman wanita salah seorang suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana pusat perubatan selepas kejadian.

"Tujuh pakaian yang dipakai suspek berdasarkan rakaman video terbabit telah dirampas serta telefon bimbit yang digunakan untuk merakam kejadian terbabit," katanya.

Anuar berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.