Kegiatan pendakian, perkhemahan dan merentas hutan yang dibenarkan bermula 15 Jun ini, hanya untuk kunjungan 'balik hari' sahaja dan dilakukan dalam kumpulan tidak melebihi 20 orang.

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata pihaknya perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan virus COVID-19.

Katanya, mereka yang memasuki hutan berkemungkinan sudah dijangkiti virus itu dan jika jatuh sakit atau menunjukkan gejala seperti demam ketika dalam hutan, ia membahayakan pasukan penyelamat.

"Mereka (penyelamat) terpaksa buat persiapan rapi termasuk menyediakan set lengkap pakaian pelindung diri (PPE) semata-mata mahu menyelamatkan orang dalam hutan yang kita tidak tahu apa simptom sebenar pesakit itu," katanya kepada Bernama.

Mohd Yussainy berkata pengunjung masih mempunyai pilihan lain untuk melakukan aktiviti berkenaan yang tidak memerlukan mereka bermalam di trek tidak terlalu jauh seperti Gunung Irau dan Mossy Forest, Cameron Highlands serta Gunung Ledang, Johor.

Menurut beliau, aktiviti air seperti mandi di kolam awam, kolam takungan dan kolam air terjun juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini.

Malah, aktiviti sukan lasak seperti motorcross, ATV, mountain bike, rock climbing, paragliding serta aktiviti tali seperti abseiling dan wall climbing juga dilarang sama sekali.

"Penganjuran kem motivasi dan summer camp di mana penganjurnya adalah persatuan rekreasi atau syarikat motivasi yang menggunakan kemudahan dalam hutan simpanan kekal juga adalah dilarang sama sekali.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa negeri boleh mepertimbangkan pertambahan senarai aktiviti yang dibenarkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian," katanya.

-- BERNAMA