Tiga aktivis Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) yang dilaporkan gagal dikesan di Sittwe, Myanmar semasa misi kemanusiaan membantu etnik Rohingya di wilayah Rakhine disahkan selamat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin memaklumkan kesemua mereka diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dan akan dibawa pulang ke Yangon dari Sittwe sebelum berlepas balik ke tanahair.

"Kita sudah hubungi kerajaan Myanmar dan maklumkan mengenai ketiga-tiga rakyat Malaysia ini. Mereka dibantu oleh pihak keselamatan dan kini berada dalam kawalan pihak berkuasa negara itu," ujar Hamzah.

Tiga aktivis yang ditahan itu dikenali sebagai Zulhanis Zainal, 36 tahun; Mohamad Fidhri, 42 tahun dan Mohaimin, 28 tahun. Fidhri dan Mohaimin adalah juga wartawan TV Al-Hijrah.

Tiga aktivis itu sebelum ini gagal dikesan selepas memasuki sebuah kem pelarian berdekatan Aungmingla, Sittwe.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan menjelaskan badan itu melancarkan misi kemanusiaan kecemasan Myanmar pada 18 Februari melibatkan 7 orang delegasi. Ini adalah misi kali ketujuh.



Selain menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan kelengkapan pelajaran, misi itu juga bertujuan memantau kemajuan projek Perkampungan Aman ASEAN yang terletak dalam kawasan kem pelarian.

Projek itu diusahakan secara kerjasama antara Mapim dengan NGO tempatan bagi membantu kerajaan Myanmar menyediakan rumah dan penginapan kepada pelarian yang terjejas akibat konflik agama pada Jun 2012.

"Walau bagaimanapun, misi kali ini mengalami sedikit gangguan akibat daripada salah faham segelintir masyarakat Rakhine yang mencurigai misi kemanusiaan ini," kata Mohd Azmi.


Jelas beliau, tempat penginapan aktivis itu telah didatangi oleh kumpulan pelampau Buddha pada Khamis malam bertujuan mahu mengusir mereka keluar dari Sittwe.

Astro AWANI difahamkan kumpulan pelampau itu telah mengepung aktivis Mapim dan tindakan mereka itu mengancam keselamatan.

Kumpulan yang diketuai oleh Zuhanis itu kemudian segera menghubungi polis dan mereka diselamatkan dengan dibawa ke Balai Polis Sittwe yang terletak berhampiran tempat mereka menginap.

"Sehingga sekarang kita sedang berunding dengan NGO tempatan dan kerajaan negeri Rakhine bagi proses evakuasi dan pada masa yang sama pihak Wisma Putra melalui kedutaan Malaysia di Yangon berusaha membawa pulang kesemua delegasi dari Sittwe," kata Mohd Azmi lagi.

Beliau juga memaklumkan semua aktivis itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Hamzah dalam pada itu mengulangi nasihat meminta mana-mana NGO yang melakukan misi bantuan ke negara bergolak supaya memaklumkan misi mereka kepada Wisma Putra.

Katanya, tindakan itu akan memudahkan pihak Wisma Putra sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti ini.

Dalam hal ini beliau menegaskan, hubungan diplomasi yang baik antara Kuala Lumpur-Yangon, membolehkan bantuan kepada warga Malaysia yang berdepan masalah diberikan segera.