Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata penguatkuasaan akta itu pada 30 Ogos tahun lepas juga dapat mencerminkan prinsip undang-undang antarabangsa awam mengenai kekebalan negara.
Beliau berkata pelaksanaan akta itu juga penting, bagi memastikan Malaysia sentiasa berdaya saing di platform antarabangsa, seterusnya meningkatkan ekonomi dan menjamin keselamatan negara hatta satu langkah untuk meningkatkan keyakinan pelabur mengenai perundangan negara yang memberi perlindungan kepada mereka.
"Ini juga antara inisiatif reformasi institusi, yang Malaysia menerima pakai secara zahir undang-undang adat antarabangsa, yang menetapkan bahawa sesebuah negara dilindungi daripada tindakan dan prosiding di mahkamah negara asing," kata beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kekebalan Negara Asing Bilangan 1 Tahun 2025 iaitu mesyuarat pertama selepas Akta Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2024 (Akta 853) dikuatkuasakan.
Beliau berkata mesyuarat bertujuan memberi penerangan mengenai fungsi, kuasa serta keanggotaan Majlis Kekebalan Negara Asing serta membincangkan proses permohonan kekebalan di bawah Akta 853.
-- BERNAMA
