Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata semua laporan itu diterima setakat 11.30 malam semalam dan siasatan lanjut giat dilakukan.
Beliau berkata laporan awal kes itu dibuat seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun di Balai Polis Beranang, Kajang, Selangor pada Sabtu lepas.
"Identiti suspek wanita berusia 75 tahun sudah pun dikenal pasti dan pada masa ini siasatan sedang dijalankan dengan tindakan awal kita adalah memanggil pemilik akaun berkenaan.
"Polis sudah merakam percakapan pengadu terbabit bagi melengkapkan siasatan awal kes itu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razarudin berkata pihaknya telah merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menurunkan hantaran tersebut daripada akaun Facebook wanita itu kerana boleh mengelirukan pembaca.
"Pihak polis tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang isu berkaitan agama, kaum dan raja (3R). Tindakan mengikut segala peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap pihak menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengganggu-gugat ketenteraman awam," katanya.
-- BERNAMA
