KUALA LUMPUR: Polis akan menyerahkan kertas siasatan membabitkan seorang aktivis yang disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) esok, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain


Ringkasan AI
  • Polis akan menyerahkan kertas siasatan terhadap seorang aktivis yang disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada esok hari.
  • Rakaman percakapan aktivis tersebut telah diambil, dan kes ini disiasat mengikut beberapa seksyen undang-undang termasuk Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Video yang dimuat naik di Instagram aktivis tersebut didakwa mengandungi kenyataan berunsur hasutan serta menyentuh isu agama, kaum, dan institusi diraja.


"Rakaman percakapan sudah diambil. Kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat AGC esok untuk arahan selanjutnya," katanya secara ringkas ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Khamis lepas, media melaporkan bahawa polis membuka kertas siasatan terhadap aktivis berkenaan selepas dia disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan di Batu Kawan, Pulau Pinang, pada Rabu berhubung video yang tersebar di aplikasi WhatsApp, memaparkan kenyataan aktivis tersebut yang didakwa berunsur hasutan serta menyentuh isu agama, kaum, dan institusi diraja (3R), selain turut melibatkan pihak keselamatan dan Perdana Menteri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, tular video berdurasi sembilan minit di laman sosial aktivis terbabit didakwa membuat kenyataan jelik terhadap seorang pendakwah bebas selain mempersoalkan tindakan polis selepas pendakwah itu dipercayai mengeluarkan kenyataan menghina agama lain.

-- BERNAMA