Dalam hantaran di Facebook, Gobind, 52, merakamkan penghargaan dan kesediaannya untuk berkhidmat dalam peranan baharu ini dan menyifatkannya sebagai penghormatan untuk memimpin.
"Saya amat terharu dilantik sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan oleh rakan-rakan dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). Marilah kita terus bekerja keras untuk menunaikan harapan rakyat. Ayuh kita bersama-sama melangkah ke hadapan," kata Gobind yang juga merupakan Menteri Digital.
Semalam, Ahli Parlimen Damansara itu memperoleh undi tertinggi dalam pemilihan CEC DAP, yang diadakan bersempena dengan Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Sebanyak 4,203 perwakilan parti daripada 1,650 cawangan hadir dalam kongres satu hari itu untuk mengundi 30 ahli CEC bagi penggal 2025-2028.
Susulan kemenangannya, Gobind secara rasmi dilantik Pengerusi Kebangsaan menggantikan Lim Guan Eng yang dilantik sebagai Penasihat DAP.
Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung parti itu untuk penggal kedua.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan.
Naib Pengerusi Kebangsaan yang baharu dipilih adalah:
- Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen
- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching
- Pengerusi DAP Selangor Ng Suee Lim
- Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan
- Ahli Parlimen Nilai J. Arul Kumar
Selain itu, beberapa pemimpin dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung:
- Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong
- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh
- Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh
--BERNAMA
