Beliau berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan penguatkuasaan akta ini kerana ia sudah ditunggu selama bertahun-tahun.
"Akta ini pasti akan menyelamatkan berjuta-juta nyawa anak muda yang ketagih rokok dan rokok elektronik atau vape yang akhirnya terjerumus dengan dadah berbahaya.
"CAP menyokong penuh pelaksanaan akta ini dan ia mestilah dikuatkuasakan sepenuhnya, tindakan mestilah dilakukan dengan berkesan serta tiada lagi sekadar memberi amaran atau kompaun tetapi terus kepada tindakan tegas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bermula 1 Okt ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan Akta 852 dan akta itu merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta larangan merokok di tempat awam.
Mengikut kenyataan di media sosial KKM, peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan ini termasuk rokok elektronik.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata isu lain ialah penggunaan rokok elektronik di zon larangan merokok kerana ramai pengguna beranggapan kawasan itu hanya untuk perokok.
Beliau berkata pada masa ini tiada tindakan terhadap penghisap rokok elektronik di zon larangan merokok dan sepatutnya tanda larangan penggunaan rokok dan rokok elektronik turut diletakkan di kawasan itu.
"Ini termasuk perhentian bas, pusat beli-belah, tempat awam, tempat perhimpunan awam atau semasa berjalan di jalan yang dikelilingi oleh bukan perokok," katanya.
Subbarow berkata isu yang paling penting ialah tidak membenarkan kanak-kanak memegang atau membeli apa-apa jenis produk tembakau.
-- BERNAMA