Menurut bekas Dekan Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Adnan Hussein, ini kerana masalah itu mampu diatasi sekiranya wartawan di alaf ini mengambil peluang selangkah di hadapan teknologi itu, untuk mewujudkan keyakinan dalam kandungan berita yang disampaikan.
Katanya lagi, meskipun keupayaan kewartawanan seperti kepantasan berita boleh dilakukan teknologi tersebut, banyak perkara yang AI tidak mampu tandingi dari segi keupayaan lain yang ada pada manusia.
"Memang ia satu cabaran kepada wartawan namun inilah yang perlu disahut penghasil kandungan berita.
"Pertama, cabaran untuk meyakinkan masyarakat supaya tidak meletakkan kebergantungan penuh kepada teknologi itu adalah para wartawan perlu memastikan ketepatan itu dijaga dalam sesebuah kandungan berita.
"Kedua, dari segi keputusan menghasilkan sesebuah kandungan berita, wartawan perlu tampil dengan perbezaan yang ketara daripada kecerdasan buatan agar kualiti penulisan dan konteks dapat menarik perhatian pembaca.
"Sekiranya kedua perkara ini mampu dilaksanakan, kepercayaan masyarakat berkenaan keupayaan wartawan manusia akan terhasil dan seterusnya akan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi semata-mata," ujarnya.
Pandangan itu dikongsikan beliau dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Sebelum ini Presiden Institut Akhbar Malaysia Datuk Yong Soo Heong berkata, AI tidak boleh mengambil alih tugas seseorang wartawan.
Ini kerana menurutnya, laporan dihasilkan seorang wartawan adalah perlu berlandaskan etika kewartawanan.
Menurut Yong juga, wartawan patut kagum dengan kebolehan masing-masing, dan sebaliknya AI perlu dijadikan alat untuk membantu mereka dalam hal produktiviti dan hal kajian namun bukan dalam aspek penghasilan karya penulisan berita.