KUALA TERENGGANU: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan kesalahan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dihormati.

Dalam masa sama, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berharap bekas Perdana Menteri itu terus kuat dalam mendepani ujian tersebut.

Ahmad Samsuri secara peribadi berharap Najib tidak hilang semangat dan menghadapi ujian dengan tenang.

“Pandangan peribadi saya, pertama, kita menghormati keputusan mahkamah… yang kedua kepada yang menerima hukuman diharap bersabar dengan ujian ini kuatkan semangat hadapilah dengan tenang dan banyak ruang-ruang waktu yang ada itu boleh digunakan untuk menggembalikan semangat dan sebagainya walau suasana amat berbeza.

“Dan yang ketiga kepada orang-orang lain tentulah boleh saya kata life goes on (hidup diteruskan), kita  yang masih sihat ini masih lagi tidak mendapat apa-apa bencana hendaklah mencari apa jua yang terbaik dalam apa jua keadaan,” kata Ahmad Samsuri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) luar negara tahun 2022, di sini, hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati petisyen rayuan Najib tidak mempunyai merit.

Tengku Maimun yang mengetuai barisan lima panel hakim memutuskan menolak permohonan rayuan Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 28 Julai 2020.