KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Jailani Muhamed Yunus sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan Ahmad Jailani itu berkuat kuasa hari ini, 7 Jun 2024 untuk tempoh tiga tahun.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan Ahmad Jailani seperti yang termaktub dalam Perkara 139(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Ahmad Jailani yang memiliki Ijazah Kedoktoran dari Hiroshima University, Jepun mempunyai pengalaman yang luas selama 30 tahun dengan memegang pelbagai jawatan penting dalam Perkhidmatan Awam termasuk sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar," memetik kenyataan itu.

Ahmad Jailani mengisi jawatan yang kosong hampir 11 bulan itu selepas Tan Sri Zainal Rahim Seman menamatkan perkhidmatan beliau pada 24 Julai 2023 setelah memimpin SPA selama lima tahun.