NEW YORK: Malaysia mengulangi gesaannya bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengaktifkan semula Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Apartheid.


Ringkasan AI
  • Malaysia menggesa PBB mengaktifkan semula Jawatankuasa Khas Menangani Apartheid dan mengenakan sekatan senjata ke atas Israel.
  • Malaysia menekankan perlunya reformasi penggunaan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB, khususnya dalam kes pencabulan hak asasi manusia.
  • Malaysia menyokong pembentukan negara Palestin yang merdeka dan menyeru tindakan segera bagi menghentikan keganasan oleh Israel.


Ketika berucap menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung PBB pada Sabtu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk menggunakan kuasa menerusi Chapter 7 Piagamnya bagi mengenakan sekatan senjata serta-merta ke atas Israel.

Ia antara lain bagi menekankan keperluan mendesak menghentikan segala keganasan sekali gus memastikan akauntabiliti bagi pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Tindakan Israel, setiap hari, menimbulkan keraguan kita sama ada ia percaya kepada sistem PBB, atau menghargai keahliannya dalam organisasi ini.

“Kependudukan haramnya telah membentuk sistem apartheid dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin kerana rejim Israel secara jelas telah menyatakan hasrat mereka untuk menghapuskan keseluruhan penduduk di sana.

‘’Tanpa persoalan, ini merupakan satu agenda pembunuhan beramai-ramai,’’ katanya.

Selain itu, Mohamad juga menegaskan bahawa penggunaan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB mesti diperbaharui, terutamanya dalam kes-kes pencabulan hak asasi manusia.

“Veto tidak seharusnya digunakan dan dilaksanakan sesuka hati. Mesti ada pengecualian terhadap kes jenayah kemanusiaan dan serangan ke atas infrastruktur awam.

‘’Kita mesti mengehadkan atau memansuhkan veto sama sekali,’’ jelasnya.

Beliau yang membuat penampilan sulung di pentas itu seterusnya menggesa Perhimpunan Agung untuk mengambil tindakan apabila Majlis Keselamatan telah gagal.

“PBB tidak boleh terus terbiar. Kita mesti segera menggunakan proses sedia ada yang diasaskan oleh Perhimpunan Agung ini, bersama-sama dengan mekanisme yang dibangunkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Pada masa sama, Mohamad berkata, Malaysia mengalu-alukan progres yang dicapai menerusi Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan (PBB) pada Mei lalu menerusi Sesi Kecemasan Khas ke-10 Perhimpunan Agung PBB yang menyaksikan 143 negara menyokong, sembilan menentang dan 25 berkecuali.

Beliau juga antara lain mengulangi sokongan Malaysia dalam pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Ia menggembirakan kami dan memberikan harapan untuk melihat negara Palestin duduk di kalangan kita semua hari ini. Kami menggesa kumpulan negara minoriti untuk menyertai majoriti.

‘’Israel telah melanggar semua undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Genosid 1948, Konvensyen Geneva 1949.

‘’Sudah tiba masanya untuk merealisasikan hak Palestin menjadi sebuah negara dan mendapat keahlian penuh dalam perhimpunan ini.

‘’Dialog dan diplomasi adalah satu-satunya jalan kepada penyelesaian yang berkekalan dan bukan hukuman kolektif,’’ katanya lagi.