PEKAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke majlis Khatam al-Quran sempena sambutan Nuzul al-Quran dan bacaan tahlil Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Shah serta berbuka puasa di Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini.

Berangkat sama ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut menyerikan majlis itu ialah 65 pelajar Mahaad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang serta pegawai-pegawai kanan daripada pelbagai agensi kerajaan.

Bacaan khatam al-Quran dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Ustaz Mohd Khalil Mohd Zari Al-Hafiz, dan bacaan tahlil pula dipimpin oleh Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk cintai al-Quran oleh Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Badli Shah Alauddin.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada tiga buah masjid daerah yang paling banyak melakukan khatam al-Quran.

Selepas berbuka, semua jemputan menunaikan solat maghrib berjemaah.