Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yakin dapat menyelesaikan masalah kedegilan pesalah trafik menjelaskan saman (kompaun) menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan tindakan mahkamah.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron berkata tindakan mahkamah itu dilakukan berikutan terdapat pesalah trafik memandang mudah terhadap saman yang dikeluarkan kepada mereka selepas sistem itu dikuatkuasakan sejak 15 April lepas.

"Kita akan meneruskan tindakan itu walaupun terdapat pertikaian daripada pelbagai pihak oleh kerana kita tahu terdapat pengguna jalan raya yang degil untuk membayar kompaun RM150 atas kesalahan yang dilakukan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program 1Komuniti 1JPJ di sini, hari ini.

Nadzri berkata tindakan mahkamah tersebut sudah mendapat arahan daripada peguam negara yang mana pesalah trafik yang gagal membayar saman dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh kompaun akan didakwa di mahkamah dan berdepan denda sehingga RM2,000.

"Sehingga kini pihak kami masih mengesan pesalah-pesalah tersebut sebelum dikenakan tindakan mahkamah," katanya.

Beliau berkata setakat ini, saman yang dikeluarkan AES merangkumi dua jenis kesalahan iaitu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

-- BERNAMA