KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis perlu mengemukakan bukti beliau menyertai Pas sejak 2023 sebelum persidangan DUN pada November ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata Muhammad Jailani perlu memberikan butir-butir terperinci tentang kedudukan dirinya dalam PAS sebelum sebarang keputusan dibuat terhadap beliau.

"Dia telah mengisytiharkan diri dia menjadi ahli Pas sejak 2023, jadi kita nak bukti (menyertai Pas) pada 2023 ini dekat mana? Kalau tak dapat nak buktikan pada 2023, seolah-olah dia bercakap itu atas sebab dia nak bercakap sahaja.

"Nanti kalau kita bawa ke mahkamah, dia boleh nafikan, apa buktinya? Jadi, dia kena buktikan kepada kita keahlian sejak itu," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat media Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ab Rauf berkata pihaknya juga telah menghantar surat kepada Pas untuk mendapatkan pengesahan mengenai keahlian Muhammad Jailani sebagai ahli parti itu.

Pada 19 Julai, Ab Rauf berkata kedudukan Muhammad Jailani sebagai penyandang di kawasan itu serta status kekosongan kerusi kawasan berkenaan akan ditentukan Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum.

Beliau berkata Speaker DUN juga akan meneliti dakwaan wakil rakyat itu telah menyertai PAS berpandukan undang-undang dan enakmen kerajaan negeri.

Pada 16 Julai, Setiausaha Agung Pas yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Bangunan Parlimen mengesahkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO telah diterima menjadi ahli Pas pada 10 Jun 2023.

Takiyuddin mendakwa tindakan Muhammad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas ADUN Rembia itu menyertai PAS.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin UMNO bertarikh 28 Ogos tahun lepas, Muhammad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

-- BERNAMA