Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 mengenai pemohon melebihi had kelayakan yang mendapat rumah di bawah Program Perumahan Kos Rendah (PPKR) di Pulau Pinang, amat mengejutkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong Datuk Muhammad Farid Saad.

Beliau kesal ia berlaku kerana perkara itu langsung tidak selari dengan slogan kerajaan negeri yang kononnya mengamalkan pentadbiran yang cekap, telus dan akauntabiliti.

Perkara itu juga amat mendukacitakan kerana masih berlaku 'kebocoran' dalam sistem saringan kelayakan yang diperkenal dan diguna pakai oleh kerajaan DAP Pulau Pinang, katanya.

Muhammad Farid berkata kerajaan negeri juga dilihat tidak cekap mengurus tadbir kemudahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pulau Pinang, menyebabkan banyak rumah PPR tidak disewakan sedangkan ramai pemohon masih menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri.

"Amat mengejutkan perkara sebegini masih boleh berlaku walaupun Selection Process Enhancement Committee atau SPEC telah ditubuhkan oleh Exco Perumahan pada Ogos 2013 untuk menyaring dan memudah cara permohonan rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik.

"Apa logiknya kerajaan negeri mendesak kerajaan persekutuan untuk membina lebih banyak PPR di Pulau Pinang sedangkan bilangan yang sekarang pun gagal diurus tadbir dengan baik," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Muhammad Farid mengulas laporan Ketua Audit Negara pada Isnin yang menyebut bagi tempoh 2014 hingga 2016, seramai 208 pemohon yang berpendapatan melebihi RM2,500 menerima rumah kos rendah dan pemohon berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,500 mencatat bilangan kelulusan tertinggi iaitu 162 pemohon.

Dilaporkan bagi tempoh sama, didapati sebanyak empat kes permohonan diluluskan melibatkan pemohon yang mempunyai pendapatan melebihi RM8,500, manakala turut disebut sebanyak 436 unit PPR masih kosong walaupun sebanyak 3,747 permohonan masih dalam senarai menunggu rumah PPR.

Katanya kegagalan kerajaan negeri menyewakan rumah-rumah PPR yang masih kosong juga menyebabkan rakyat Pulau Pinang yang berpendapatan rendah dan memerlukan kediaman tidak mendapat rumah untuk dihuni, manakala kerajaan negeri pula kehilangan pendapatan.

Sementara itu, mengenai Akaun Amanah Pelbagai Bagi Pembiayaan Projek Perumahan Awam Kos Rendah yang mempunyai baki berjumlah RM121.99 juta dan terimaan yang tidak dibelanjakan sejak 2013, Muhammad Farid berkata wang rakyat itu bukannya untuk dibiar terkumpul atau mahu menunjukkan kepandaian kerajaan negeri menyimpan wang.

"Kerajaan negeri yang baik adalah kerajaan yang menguruskan wang rakyat dengan baik untuk menyediakan segala keperluan dan kemudahan untuk rakyat dan ini jelas menunjukkan ketidakcekapan perancangan pembangunan dan pengurusan kewangan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA