Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan pihaknya mendapati, terdapat kesan atau unsur-unsur bot dinaiki anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilanggar.
Malah tegasnya, siasatan ke atas bot PATI itu pula menemukan dua bilah parang dan pihaknya sudah merakam keterangan 14 anggota APMM.
"Polis mendapati bot dinaiki PATI yang cuba keluar dari perairan negara mereka bertembung dengan bot peronda APMM. Dalam pertembungan itu dipercayai ada berlaku provokasi yang menyebabkan bot PATI ini ada melanggar bot APMM dalam usaha mereka melarikan diri apabila diarah untuk berhenti.
"Dalam proses itu, berlaku insiden menembak yang mana ada provokasi daripada pihak yang berada di (atas) bot PATI ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Hussein, dua daripada empat PATI yang menerima rawatan dibenarkan keluar dan kini ditahan pihak polis untuk siasatan.
Katanya, setakat ini dua lagi mangsa yang cedera masing-masing dirawat di hospital di Serdang dan Klang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
Dalam kejadian pukul 3 pagi 24 Januari lalu, bot APMM dilanggar empat kali oleh sebuah bot dipercayai milik suspek ketika menjalankan tugas rondaan perairan terbabit.