PADA 22 Julai 1963, Gabenor Sarawak, Sir Alexander Waddell telah mengisytiharkan penubuhan Council Negri pertama Sarawak yang dipimpin oleh anak tempatan.
Stephen Kalong Ningkan, Pengerusi Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama.
Ahli-ahli Majlis Tertinggi Sarawak yang lain ketika itu ialah Abdul Taib Mahmud, James Wong Kim Ming, Dunstan Endawie Enchana, Awang Hipni Pengiran Anu, dan Teo Kui Seng.
Detik ini menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah dan lahirnya Sarawak sebagai sebuah negara yang memerintah sendiri.
Kewujudan Sarawak yang merdeka ini sebenarnya adalah sebagai persediaan untuk menubuhkan sebuah gagasan yang lebih besar, yang dinamakan Persekutuan Malaysia.
Segala-galanya bermula pada 27 Mei 1961 apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mencadangkan gagasan tersebut yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, Singapura, Sarawak, North Borneo (kini Sabah), dan Brunei.
Cadangan ini kemudian mendapat sokongan Perdana Menteri Britain, Sir Harold Macmillan.
Dua bulan kemudian, satu mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC) telah dilangsungkan di Singapura.
Pada 17 Januari 1962, satu suruhanjaya ditubuhkan di London untuk mendengar pendirian rakyat Sarawak dan Borneo Utara. Ia dinamakan Suruhanjaya Cobbold kerana pengerusinya merupakan bekas Gabenor Bank England, Lord Cameron Fromanteel "Kim" Cobbold.
Ahli-ahli lainnya termasuklah bekas Gabenor British di Sarawak, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston -- kedua-duanya mewakili Kerajaan British -- manakala Datuk Wong Pow Nee dan Muhammad Ghazali Shafie mewakili Persekutuan Tanah Melayu.
Suruhanjaya ini antara lain bertanggungjawab mendapatkan pandangan rakyat atau mengadakan referendum di kedua-dua negeri ini berhubung penubuhan Malaysia, dan penggabungan mereka dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Suruhanjaya ini telah berkunjung ke seluruh lima Bahagian di Sarawak ketika itu, kecuali satu daerah. Mereka menemui lebih 4,000 responden daripada 690 kumpulan, yang terdiri daripada seorang individu hingga 50 orang pada satu-satu masa.
Sebagai persediaan menyambut ketibaan kumpulan suruhanjaya inilah maka satu persidangan atau “Aum” dalam bahasa Iban telah diadakan di Kapit.
Aum Kapit diusahakan oleh Temenggong Jugah ak Barieng, pemimpin masyarakat Iban di kawasan tersebut, yang juga dikenali sebagai Bahagian Ketiga, Sarawak.
Aum ini melibatkan 51 ketua masyarakat atau Penghulu Iban yang dilantik. Ia diadakan pada 15 Februari 1962 dan dikendalikan oleh Tun Jugah.
Kelompok ini dikatakan mewakili 112,000 Iban, daripada keseluruhan populasi 238,000 orang pada ketika itu dan memberi fokus kepada penubuhan Persekutuan Malaysia.
Daripada Aum yang berlangsung sehari ini, maka satu keputusan yang dinamakan “Resolusi Kapit” telah tercapai.
Persidangan ini mencapai kesepakatan bahawa cadangan penubuhan Malaysia ini perlu disokong, namun tertakluk kepada beberapa syarat.
Dan resolusi ini kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold ketika mereka tiba di Kapit pada 19 Mac 1962.
Antara lain, Resolusi Kapit ini menuntut bahawa
1. Ketua Negeri Sarawak hendaklah Bumiputera Sarawak;
2. Ketua setiap negeri di Persekutuan layak untuk dilantik sebagai Ketua Persekutuan Malaysia;
3. Adat lama kekal di bawah kekuasaan Kerajaan Sarawak, seperti yang diamalkan pada hari ini;
4. Tanah terletak di bawah kawalan dan bidang kuasa Negeri;
5. Bahasa Inggeris kekal menjadi bahasa rasmi negeri Sarawak dan akan menjadi salah satu bahasa rasmi Malaysia;
6. Kebebasan dalam beragama dan beribadah;
7.Perlu ada perwakilan yang cukup untuk Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan;
8. Pegawai British sedia ada kekal sehingga ada rakyat tempatan yang layak dapat menggantikannya;
9. Bumiputera Sarawak menikmati status dan kelebihan yang sama dinikmati oleh masyarakat Melayu di Tanah Melayu;
10. Pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan hendaklah diagih sama rata di seluruh negara secepat mungkin. Bumiputera Sarawak juga harus diberikan pembahagian yang adil untuk biasiswa luar negara;
11. Kuasa imigresen kekal di bawah kuasa Negeri Sarawak;
12. Kuasa yang diperakukan Perlembagaan untuk negeri, tidak boleh diubah tanpa persetujuan daripada negeri; dan,
13. Pembangunan di Sarawak perlu dipercepatkan.
Difahamkan, suruhanjaya tersebut memandang serius akan resolusi ini, kerana ia mempunyai beberapa pandangan yang bernas.
Ternyata Tun Jugah telah menjalankan tugasan yang cukup berkesan kerana ada beberapa resolusi ini kemudiannya telah dijadikan 18 perkara yang dituntut Sarawak menerusi Jawatankuasa Antara Kerajaan atau IGC.
Yang menariknya, beberapa pemimpin Iban lain yang diwawancara sebelum persidangan itu turut memberi pandangan betapa perlunya hak untuk keluar dari Persekutuan diwujudkan, dan ia seharusnya dinyatakan secara jelas dan bertulis.
Pun begitu, tidak semua masyarakat Iban pada waktu itu menyokong penubuhan Malaysia, terutamanya golongan cerdik pandai dan berpendidikan di Bahagian Kedua. Mereka antara lain memiliki pandangan dan cadangan sendiri.
Antaranya, mahu ketua negara Malaysia yang baharu itu dikenali sebagai Presiden dan Malaysia dijadikan sebagai sebuah republik.
Mereka juga menuntut agar Bahasa Inggeris kekal sebagai medium pengajaran di sekolah dan Bahasa Iban menjadi salah satu subjek yang diajar.
Sarawak juga kata mereka, perlu menjadi negeri sekular dan bantuan dana daripada Persekutuan hendaklah diagihkan sama rata kepada semua kumpulan agama.
Setelah diperhalusi, akhirnya laporan Suruhanjaya Cobbold berjaya dibentangkan pada hujung tahun berkenaan, yang kemudian membawa kepada Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 oleh Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Bagi pihak Sarawak, yang menandatangani perjanjian ialah Temenggong Jugah Barieng OBE, Datu Bandar Abang Mustapa, Abang Haji Openg Abang Sapi’e, Ling Beng Siew dan P.E.H. Pike manakala Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Sir Harold Macmillan masing-masing mewakili Tanah Melayu dan Britain.
Susulan itu, pada 22 Julai 1963, Gabenor Sarawak, Sir Alexander Waddell, mengeluarkan pengisytiharan untuk membentuk Majlis Tertinggi pertama negeri dalam kalangan anak tempatan.
Stephen Kalong Ningkan, Pengerusi Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama.
Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain ialah Abdul Taib Mahmud, James Wong Kim Ming, Dunstan Endawie Anak Enchana, Awang Hipni Pengiran Anu dan Teo Kui Seng.
Sarawak menuntut 18 perkara (termasuk sebahagian daripada Resolusi Kapit) dan Sabah menuntut 20 perkara sebelum Perjanjian Malaysia 1963 itu ditandatangani dan ia dipersetujui.
Tujuannya tidak lain tidak bukan bertujuan melindungi kepentingan, hak, dan autonomi rakyat kedua-dua negeri itu selepas penubuhan Malaysia.
Rudi Affendi Khalik
Sat Jul 22 2023

Pengerusi SNAP Stephen Kalong Ningkan dilantik Ketua Menteri Sarawak yang pertama pada 22 Julai 1963. Detik ini menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah dan lahirnya Sarawak sebagai sebuah negara yang memerintah sendiri. -FB Suara rakyat Sarawak

6,287 peserta sertai Inisiatif Pendapatan Rakyat sehingga 17 Mac
Seramai 6,287 peserta yang telah diluluskan menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sehingga 17 Mac 2025.

Dapat rezeki tak terduga, Noraniza Idris batal niat tutup kilang muruku
Berdepan dengan kerugian lebih RM1 juta sebelum ini, penyanyi Noraniza Idris menghela nafas lega apabila kilang makanan ringan muruku Che Ani Premium yang hampir ditutup dapat terus beroperasi.

RUU Pembaharuan Semula Bandar lindungi hak pemilik, pampasan lebih adil - PM
Tanggapan kononnya undang-undang ini akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera kehilangan tempat di bandar adalah tidak benar.

PM Anwar tegur insiden pemuda Cina ditampar warga emas
Sensitiviti agama, kaum dan bangsa boleh dielakkan jika semua pihak mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain, kata Perdana Menteri.

Singapura seru sambung rundingan ke arah gencatan senjata berkekalan di Gaza
Singapura menyuarakan kebimbangan terhadap berulangnya pertempuran di Gaza yang mengakibatkan kematian dalam kalangan orang awam.
AWANI Ringkas: Pelanggaran Akta Mesin Cetak 1984
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
AWANI Ringkas: Siasatan SPRM ke atas bekas PM
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.

Ops Mulia: 734 naskah al-Quran, lebih 19,000 bahan al-Quran disita
Sejumlah 734 naskah al-Quran dan 19,682 bahan al-Quran yang tiada perakuan disita bagi tempoh 7 hingga 12 Mac lepas.

Dua karnival, tiga bazar sempena Ramadan dan Aidilfitri rai ulang tahun ke-50 AmBank
Siri karnival perayaan anjuran AmBank himpunkan rakyat Malaysia dalam semangat perpaduan dan perayaan yang sebenar.

Warga emas tampar pemuda dilepas tanpa bebas, kes dirujuk AGC
Kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Abang Jo ucap tahniah Wan Junaidi diangkat sebagai Gabenor Sarawak
Abang Johari menzahirkan ucap tahniah kepada Wan Junaidi atas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan.

60 tahun memerintah sendiri, Resolusi Kapit dan hak istimewa Sarawak
Detik ini menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah dan lahirnya Sarawak sebagai sebuah negara yang memerintah sendiri.