MELAKA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menahan 60 pendatang tanpa izin termasuk 36 warga Bangladesh di sebuah daripada rumah penampungan di Melaka Tengah di sini, dalam operasi yang dijalankan semalam.

Pengarah JIM Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata dalam operasi yang dijalankan bermula 10.30 pagi semalam hingga 2 pagi, kesemua lelaki warga Bangladesh berusia 25 hingga 47 tahun itu ditahan atas kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen atau pas yang sah.

"Ketika serbuan dilakukan, kesemua warga Bangladesh itu tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana sedang nyenyak tidur dan tidak sempat melarikan diri.

"Seorang daripada warga asing tersebut memaklumkan mereka telah tinggal di rumah penampungan itu selama 15 hari dan tidak diberikan sebarang pekerjaan oleh majikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas rumah penampungan itu mendapati penempatan tersebut sempit dan kotor selain majikan gagal menyediakan kelengkapan asas di premis berkenaan.

Anirwan Fauzee berkata dua saman saksi turut dikeluarkan kepada wakil majikan kesemua warga Bangladesh di rumah penampungan itu, yang merupakan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40-an bagi membantu siasatan.

Beliau berkata dalam operasi itu juga, 24 pendatang asing masing-masing tiga lelaki dan wanita warga Indonesia, enam lelaki Bangladesh, lima lelaki dan satu wanita Myanmar, empat lelaki Pakistan dan dua lelaki Nepal berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun ditahan.

Beliau berkata mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di kawasan pembinaan, pusat cuci kereta dan rumah di sekitar Melaka.

"Kesemua warga asing itu didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di negara ini setelah pas tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA