Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991, antara lain mengimpikan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan maju menjelang 2020 dengan berpaksikan identiti dan acuan tersendiri.

Walaupun begitu, ia bukan sahaja tertumpu kepada bidang ekonomi semata-mata. Lebih dari itu, Wawasan 2020 amat menyeluruh dengan fokus antaranya kepada kemajuan dan keseimbangan dalam bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta perpaduan nasional dan sosial.

Namun, bersama wawasan ini terdapat sembilan matlamat ataupun cabaran yang telah dihuraikan Tun Mahathir yang perlu dicapai dalam menghasilkan pembangunan seimbang yang selari dengan prinsip asas Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Cabaran pertamanya ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama.

Selain daripada bahasa, antara identiti bangsa yang boleh dilihat dengan ketara ialah pakaian ataupun fesyen.

Jadi, mampukah perpaduan kaum ini diwujudkan melalui dunia fesyen tempatan?

Melihat kini, dengan kurang daripada lima tahun menuju 2020, Zubaidah Sual, seorang pencinta dan aktivis warisan kebudayaan terutamanya berkaitan tekstil lama, melihat bahawa amat sukar baginya untuk mengatakan dunia fesyen dapat menyemarakkan perpaduan kaum di Malaysia.

Zubaidah yang juga pernah bertugas sebagai kurator di Muzium Negara berpendapat bahawa sejarah menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia terpisah dengan kepercayaan, adat, budaya dan cara hidup yang sangat berbeza.

Pakaian adat tradisi agung

Keadaan persekitaran, pengaruh dunia luar, muzik dan hiburan sudah tentunya memberi impak kepada peredaran fesyen semasa. Kerana ini, setiap kaum memiliki pakaian adat, sama ada pakaian adat tradisi agung ataupun pakaian rakyat yang berbeza-beza mengikut kaum.

Identiti pakaian yang masih kekal sehingga hari ini, wujud lebih 500 tahun dahulu iaitu pakaian ataupun fesyen yang mewakili citarasa terbesar di Malaysia yang melibatkan simbolik dan hirarki dimana semua kaum terbesar di Malaysia melalui zaman yang sama iaitu zaman penjajahan.

Zubaidah melihat kemungkinan terdapatnya perpaduan melalui fesyen, pada era 60-an dan 70-an.

“Mungkin ada sedikit perpaduan dalam fesyen kontemporari. Fenomena 'Pop Yeh-Yeh' dari England pada 1960an dan 1970an contohnya. Hingga sekarang rata-ratanya rakyat Malaysia memakai fesyen pakaian yang sama bagi lelaki dan perempuan. Tetapi masih ada batas hijab bagi wanita Muslim," terang Zubaidah.

Namun begitu, sehingga kini, menurut Zubaidah, perpaduan kaum dalam fesyen tradisional hanya dapat dilihat dalam acara-acara rasmi ataupun aktiviti-aktiviti anjuran kerajaan.


Islamic fashion week
Walaupun terdapat banyak persatuan dan acara berasakan fesyen yang ditubuhkan sejak sedekad lalu, namun tidak ramai pereka-pereka tempatan yang mahu menerapkan nilai-nilai ataupun intipati seni etnik kaum masing-masing. - Gambar Fail

Intipati seni etnik dan pereka tempatan

Jika dibuat perbandingan, antara fesyen tanahair kini dan sedekad lalu, terdapat perpaduan yang wujud tetapi ia hanyalah secara fizikal.

Namun tambah Zubaidah, produk fesyen itu sendiri tidak mewakili ataupun tidak menerapkan intipati perpaduan.

Walaupun terdapat banyak persatuan dan acara berasakan fesyen yang ditubuhkan sejak sepuluh tahun yang lalu seperti Persatuan Pereka Bumiputera, Islamic Fashion Week dan Kuala Lumpur Fashion Week, namun tidak ramai pereka-pereka tempatan yang mahu menerapkan nilai-nilai ataupun intipati seni etnik kaum masing-masing.

Zubaidah membuat perbandingan dengan negara budaya serumpun Malaysia iaitu Indonesia:

“Dunia fesyen kita tidak sama dengan Indonesia. Kalau di Indonesia pereka fesyennya bangga dan berebut untuk menghasilkan produk dari tekstil daerah sendiri. Maka itu, produk fesyen mereka boleh diterima oleh masyarakat setempat dan seluruh Indonesia."

Zubaidah yang juga merupakan pengusaha galeri barangan antik dan tekstil lama merumuskan bahawa fesyen hasil pereka tempatan kini, dikekang batasan kreativiti.

“Jati diri pereka kita tidak sebati dengan tanah air. Sebab itu kreativiti terbatas dan produk yang dihasilkan hanya untuk pentas peragaan. Hakikatnya untuk dipakai biasa tidak sesuai,” komen Zubaidah.

Zubaidah juga menambah, walaupun minggu-minggu fesyen yang dianjurkan pelbagai pihak, dengan sokongan utuh kerajaan khasnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa, juga penglibatan NGO yang kukuh, namun visi dan misi mereka tidak terarah kepada perpaduan kaum ataupun mengangkat identiti rekacipta tempatan.

Kekurangan yang ada pada kita berbanding kebanyakan negara lain seumpama Malaysia, yang kaya dengan budaya dan sumber asli ialah, tidak wujud kesedaran dalam menghargai kekayaan dan kepelbagaian kaum yang ada.

“Ini hanya pandangan saya. Tidak semestinya bila bercakap tentang fesyen kita tinggalkan pakaian tradisional kerana pakaian tradisional juga fesyen yang memperagakan gaya dan penampilan yang cantik dan elegan,” kata Zubaidah.

Mengorak langkah menuju perpaduan melalui fesyen

Mengambil negara jiran sebagai contoh, Zubaidah berpendapat bahawa keseragaman pakaian dan fesyen nasional patut diterapkan dalam memupuk perpaduan bangsa Malaysia.

“D idalam majlis rasmi kerajaan kenapa kita tidak seperti wanita-wanita utama di Indonesia yang punyai keseragaman dalam mengenakan pakaian rasmi. Sudah tiba masanya kita terapkan pakaian Melayu sebagai pakaian rasmi wanita semua kaum.

Biarlah seperti wanita Indonesia ,Filipina dan juga Thailand, bilamana wanitanya berjalan di karpet merah majlis rasmi di Eropah semua wartawan kenal. Bila agaknya kita akan sampai tahap itu?”


batik indonesia
Keseragaman pakaian dan fesyen nasional patut diterapkan dalam memupuk perpaduan bangsa Malaysia seperti yang dapat dilihat di negara jiran, Indonesia. Gambar: AFP

Zubaidah juga menyarankan supaya satu garis panduan diwujudkan kepada pereka fesyen tanpa mengira kaum memandangkan pentas pertunjukan fesyen nasional dihadiri majoriti bangsa Malaysia yang berbilang kaum.

“Rekaan fesyen ada terasnya, oleh itu tidak ada halangan sekiranya pereka fesyen disediakan garis panduan untuk dunia fesyen menjelang Wawasan 2020 dan kalau kita serius dalam mencapainya biarlah sebelum menjelang 2020,” ujar Zubaidah.