Sebanyak 562 pendatang tanpa izin Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan dekat sini Selasa malam.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata penghantaran pulang pendatang tersebut menjadikan 12,948 pendatang Filipina yang diusir setakat ini pada tahun ini.

"Jumlah keseluruhan pengusiran pendatang tanpa izin sejak 1990 adalah 590,972 orang.

"MKN Sabah terus menyelaras tanggungjawab bersama Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan dan pelbagai agensi lain untuk mengusir pendatang tanpa izin ke negara asal mereka," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Sh Sitti Saleha turut melahirkan penghargaan MKN Sabah kepada semua agensi terlibat dalam membantu menjayakan proses pengusiran pendatang tanpa izin demi menunaikan amanah dan kepercayaan rakyat yang tidak inginkan kebanjiran pendatang tanpa izin di Malaysia, khususnya di Sabah.

-- BERNAMA