Seramai 40 pelajar dari Selatan Thailand menerima biasiswa daripada kerajaan negeri bagi melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma atau Ijazah pelbagai bidang di Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR).

Rektor KISDAR, Prof Dr Jamil Hashim berkata kesemua mereka daripada lima wilayah iaitu Yala, Pattani, Narathiwat, Songkhla, Satun dan Pattalung menerima biasiswa tersebut yang melibatkan pengecualian yuran dan penginapan sepanjang tempoh pengajian selain diberikan elaun RM200 sebulan.

"Oleh kerana mereka kumpulan pertama daripada pelbagai bidang termasuk perniagaan, teknologi maklumat, pengajian dan perbankan Islam, pihak kerajaan negeri memberikan bantuan sepenuhnya kepada pelajar-pelajar itu," katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kisdar dan Persatuan Sekolah Swasta Sempadan Selatan Thailand Khamis.

Pada majlis tersebut, Kisdar diwakili oleh Jamil dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Pelajarnya, Prof Madya Dr Wan Sabri Wan Yusof manakala Persatuan Sekolah Swasta Sempadan Selatan Thailand pula masing-masing diwakili Presiden dan Timbalan Presidennya, Koddari Binzin dan Abdulhafiz Hilea.

Persatuan Sekolah Swasta Sempadan Selatan Thailand mempunyai kira-kira 200,000 pelajar dari 200 sekolah di wilayah itu yang memperjuangkan hak pendidikan dan kesaksamaan institusi pendidikan Islam swasta di sana.